#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Isu Pajakan KLSCAH RM1,000, Mengapa Hasil Negara RM4.67 Juta ‘Hilang’ Begitu Saja

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Keputusan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan pembaharuan pajakan selama 99 tahun bagi tapak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Jalan Maharaja Lela dengan premium nominal hanya RM1,000 terus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan, tatakelola dan potensi kehilangan hasil negara berjumlah RM4.67 juta.

Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional dalam satu kenyataan media hari ini menyifatkan keputusan itu sebagai mengejutkan dan sukar diterima, memandangkan nilai premium asal tapak berkenaan dianggarkan sebanyak RM4.67 juta, sebelum dikurangkan sebanyak 99.98 peratus kepada hanya RM1,000.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan menimbulkan persoalan serius apabila rakyat biasa dan peniaga kecil berdepan pelbagai cukai serta syarat ketat dalam urusan tanah, sedangkan sebuah institusi di lokasi strategik ibu negara diberikan pembaharuan pajakan hampir satu abad dengan kadar premium yang terlalu rendah.

Sekretariat itu turut mempersoalkan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, yang mengaitkan kadar premium berkenaan dengan perubahan status tanah kepada kegunaan institusi serta pewartaan bangunan tersebut sebagai warisan.

Katanya, alasan teknikal itu masih belum menjawab persoalan utama berhubung asas pengiraan premium dan ketelusan proses kelulusan.

“Kami mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina dalam memelihara KLSCAH sebagai Warisan Kebangsaan. Usaha menjaga bangunan bersejarah tersebut dan meneruskan peranannya dalam kegiatan kebudayaan serta kemasyarakatan merupakan sumbangan kepada khazanah warisan negara yang wajar dihargai.”

Bagaimanapun, sekretariat berkenaan menegaskan bahawa bangunan tersebut telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan sejak 2007, namun penilaian asal tapaknya masih mencecah RM4.67 juta.

Justeru, kerajaan diminta menjelaskan bagaimana perubahan kategori kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi boleh menyebabkan nilai premium menyusut sehingga 99.98 peratus.

Selain ketelusan formula penilaian, sekretariat itu turut membangkitkan isu kos melepas kepada rakyat susulan pengurangan premium berkenaan.

Menurutnya, nilai RM4.67 juta yang dipersoalkan bukanlah jumlah kecil kerana dana tersebut berpotensi digunakan bagi membaiki lif dan kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR), membantu golongan B40 di ibu negara atau membiayai projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.

Sekretariat itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan pembangunan tapak berkenaan menerusi kerjasama strategik sebagai hab pelancongan warisan dan kebudayaan nasional yang berpotensi menjana ekonomi serta memberikan pulangan kepada rakyat.

Sebaliknya, keputusan memberikan pembaharuan pajakan penuh selama 99 tahun kepada satu pihak dengan premium RM1,000 menuntut penjelasan lebih terperinci daripada pihak kementerian.

Sehubungan itu, Sekretariat Ahli Parlimen Barisan Nasional mengemukakan lima tuntutan utama kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Pertama, kementerian perlu mendedahkan formula pengiraan rasmi, pekeliling berkaitan, asas penilaian serta minit kelulusan yang membolehkan premium asal RM4.67 juta dikurangkan kepada RM1,000 selepas perubahan kegunaan tanah kepada institusi.

Kedua, kerajaan perlu memberikan jaminan bahawa status institusi tidak digunakan untuk membolehkan aktiviti komersial berasaskan keuntungan dijalankan tanpa sekatan.

Sekretariat itu menegaskan bahawa sekiranya dewan dan ruang bangunan masih boleh disewakan kepada pihak luar pada kadar komersial, kerajaan perlu menjelaskan mekanisme kawalan serta mempertimbangkan klausa clawback bagi mendapatkan semula nilai pasaran sebenar sekiranya syarat penggunaan tanah dilanggar.

Ketiga, kerajaan diminta memastikan dasar dan insentif premium tanah dilaksanakan secara adil serta seragam kepada semua institusi yang berada dalam keadaan sama, termasuk pertubuhan kebajikan, rumah ibadat dan badan warisan kaum lain di Wilayah Persekutuan.

“Jangan wujudkan double standard dalam hal ini. Kami menuntut penilaian yang telus dan seragam untuk semua institusi dalam keadaan yang sama,” menurut kenyataan tersebut.

Keempat, kementerian perlu menjelaskan rasional pemberian tempoh pajakan maksimum 99 tahun sedangkan pajakan asal tapak berkenaan masih berbaki lapan tahun.
Kerajaan juga diminta memperincikan syarat penggunaan dan penyewaan sepanjang tempoh pajakan serta mekanisme pemantauan bagi memastikan semua ketetapan dipatuhi.

Kelima, penjelasan perlu diberikan berhubung maksud tanah yang dikatakan tidak lagi mempunyai nilai pembangunan komersial selepas perubahan kegunaan kepada institusi.

Menurut sekretariat itu, kementerian perlu menjelaskan sama ada kenyataan berkenaan hanya merujuk kepada sekatan pembangunan atau turut menggambarkan penilaian rasmi tanah tersebut.

Asas penilaian selepas perubahan kategori kegunaan tanah serta kaedah sekatan pembangunan diambil kira dalam penetapan premium RM1,000 juga perlu didedahkan kepada umum.

Sekretariat terbabit menegaskan bahawa isu berkenaan membabitkan integriti pengurusan aset dan hasil negara yang tidak boleh dipandang ringan.

“Barisan Nasional tidak akan berkompromi dalam soal integriti pengurusan aset dan hasil negara. Kerajaan tidak boleh sekadar melaungkan slogan tatakelola yang baik, tetapi gagal mempraktikkannya apabila berdepan keputusan yang mencetuskan persepsi pilih kasih,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat berkenaan turut menuntut Menteri Wilayah Persekutuan menjawab semua persoalan yang dibangkitkan secara tuntas dan bersedia memberikan penjelasan di Dewan Rakyat.

Ia menegaskan bahawa ketelusan serta keseragaman penilaian perlu menjadi asas dalam semua keputusan berkaitan pemberian insentif dan pengurusan tanah milik kerajaan. – UMNO Online