KUALA LUMPUR, 3 Okt – Peletakan jawatan empat Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan sebagai perkembangan serius yang wajar diberikan penjelasan oleh kepimpinan parti dan kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata tindakan wakil rakyat berkenaan melepaskan kerusi Parlimen sebelum tamat penggal menimbulkan persoalan mengenai keadaan sebenar yang sedang berlaku dalam parti dan kerajaan.
Menurut beliau, perkembangan itu bukan lagi sekadar berkaitan soal jawatan atau keahlian parti, sebaliknya membabitkan persoalan lebih besar mengenai keyakinan terhadap kepimpinan parti serta pentadbiran kerajaan.

“Peletakan jawatan empat Ahli Parlimen dari PKR bukan perkara kecil dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.
“Lebih mengejutkan, perkara ini berlaku dalam sebuah parti yang menerajui kerajaan hari ini, apabila wakil rakyatnya sendiri memilih untuk melepaskan kerusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, kepimpinan PKR perlu tampil memberikan penjelasan mengenai faktor yang mendorong tindakan berkenaan, terutama apabila ia berlaku sebelum penggal Parlimen berakhir.
Beliau turut mendakwa bekas Ahli Parlimen terbabit kini merancang mengadakan siri jelajah di seluruh negara bagi mendedahkan apa yang didakwa sebagai kelemahan serta masalah dalaman parti dan pentadbiran kerajaan.
Katanya, segala dakwaan yang dibangkitkan tidak seharusnya hanya diketepikan sebagai serangan politik, sebaliknya perlu dijawab berdasarkan fakta dan bukti.
“Jika dakwaan itu tidak benar, kemukakan bukti untuk menyangkalnya. Jika terdapat kelemahan, akui dan perbetulkan. Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar,” katanya.
Mohd Razlan berkata perkembangan tersebut, pada pandangannya, memberi gambaran mengenai persoalan kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan Perdana Menteri.
Beliau seterusnya mencabar kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan supaya mendapatkan semula mandat rakyat sekiranya benar-benar yakin masih mempunyai sokongan.
“Jika kerajaan yakin masih mendapat kepercayaan rakyat, kembalikan mandat kepada rakyat. Biarlah rakyat membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat wajar diberikan ruang untuk menentukan hala tuju negara sekiranya terdapat persoalan besar berhubung kestabilan politik, kepimpinan dan pentadbiran kerajaan. – UMNO Online