KUALA LUMPUR, 18 Nov – UMNO memandang serius dan kesal dengan tindakan penyebaran minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang memuat naik dokumen berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa kuasa pengampunan, pengurangan dan peringanan hukuman merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, segala urusan dan dokumen berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan perlu dikendalikan dengan penuh cermat, menjaga kerahsiaan serta menghormati kedudukan dan kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?
“Walaupun terdapat proses penyahklasifikasian dokumen, perkara yang menyentuh secara langsung prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda sewajarnya terlebih dahulu dirujuk kepada Baginda bagi mendapatkan perkenan,” katanya dalam satu kenyataan.
Asyraf Wajdi berkata, tindakan menyebarkan minit mesyuarat berkenaan bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai tatacara pengendalian dokumen rasmi, malah disifatkan sebagai satu bentuk penghinaan dan hasutan yang boleh mencetuskan polemik terhadap kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut mendakwa Tony Pua terus memperalatkan prosiding pengampunan diraja sebagai bahan perbalahan politik tanpa mengambil kira sensitiviti serta kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
Sehubungan itu, UMNO mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera dan telus berhubung proses serta asas perundangan yang membolehkan minit mesyuarat berkenaan dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum.
“Kerajaan perlu menjelaskan pihak yang meluluskan penyahklasifikasian tersebut, termasuk sama ada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diperoleh.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan tegas mestilah segera diambil bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan perlu ditangani secara serius bagi memastikan institusi Raja Berperlembagaan terus dihormati dan tidak dijadikan modal pertarungan politik. – UMNO Online