#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Tiada Parti Mampu Tadbir Johor Lebih Baik Selain BN – Abdul Halim

TEBRAU, 4 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan hanya BN mempunyai rekod, pengalaman dan keupayaan untuk mentadbir Johor dengan baik, justeru beliau mengajak pengundi terus memberikan mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat amat penting bagi memastikan usaha membantu kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meneruskan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan.

Menurut Abdul Halim, sekiranya diberi kepercayaan untuk mewakili rakyat DUN Tiram, beliau komited melaksanakan 20 ikhtiar yang terkandung dalam manifesto BN demi membawa lebih banyak pembangunan, peluang serta kesejahteraan kepada penduduk.
“Jika pengundi memberikan keyakinan kepada saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk memajukan DUN Tiram bersama-sama rakyat. Apa yang penting ialah kita bergerak sebagai satu pasukan demi masa depan kawasan ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan semangat kerjasama yang terjalin di DUN Tiram sebagai amat baik, selain memuji sikap penduduk yang mempunyai pandangan jauh serta kesediaan untuk berganding bahu membangunkan kawasan mereka.

Katanya, kerjasama erat antara wakil rakyat, kerajaan negeri dan masyarakat akan memperkukuhkan tadbir urus di DUN Tiram sekali gus memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Sehubungan itu, Abdul Halim menegaskan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran merupakan faktor penting untuk memastikan Johor terus maju, sambil menyifatkan BN sebagai satu-satunya gabungan yang mempunyai keupayaan serta pengalaman untuk merealisasikan matlamat tersebut.

“Tiada parti lain yang mampu mentadbir selain Barisan Nasional. Sebab itu saya berharap rakyat terus memberikan mandat kepada BN supaya agenda pembangunan Johor dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Anak Tiram yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta bekas Menteri Kesihatan dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. – UMNO Online