
ALOR SETAR, 19 Jun – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara, malah turut mengurangkan risiko ketirisan dan aktiviti ekonomi bayangan.
Jurucakap UMNO Negeri Kedah itu berpandangan mekanisme GST adalah jauh lebih menyeluruh, telus dan mampan berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan kini.
“GST beroperasi melalui sistem percukaian berperingkat, di mana cukai dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan daripada pengilang, pemborong, peruncit sehinggalah kepada pengguna akhir.
“Apa yang sering tidak disebut ialah GST pada asasnya telah direka bentuk dengan penuh tanggungjawab terhadap rakyat. Semasa pelaksanaannya dahulu, pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, sayur-sayuran, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan telah dikecualikan daripada GST.
“Malah, saya mengiktiraf keberkesanan mekanisme pemulangan tunai (BR1M) yang diwujudkan ketika itu bagi mengimbangi kesan kos sara hidup terhadap golongan B40,” kata Ketua UMNO Bahagian Merbok itu dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah Shaiful Hazizy, dengan sistem yang cekap dan rangka penguatkuasaan yang lebih telus, beliau percaya GST telah terbukti sebagai penyumbang besar kepada pendapatan negara.
“Pendapatan inilah yang memungkinkan pelaksanaan pelbagai inisiatif rakyat seperti projek infrastruktur berskala besar, bantuan tunai bersasar dan usaha berterusan untuk mengurangkan defisit fiskal negara.
“Saya percaya, pendekatan ekonomi berasaskan fakta dan angka yang digerakkan melalui apa yang dikenali sebagai ‘Najibnomics’ dahulu wajar diberi pertimbangan semula.
“Ia bukan sekadar retorik ekonomi, tetapi satu strategi berpandangan jauh berteraskan prinsip ‘berbelanja untuk menjana pertumbuhan’ sambil memastikan pengagihan semula kekayaan yang lebih saksama kepada rakyat terbanyak, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Menurutnya lagi, negara memerlukan sistem percukaian yang kukuh, adil dan mampan.
“SST yang hanya mengenakan cukai pada peringkat akhir terlalu bergantung kepada penguatkuasaan manual yang membuka ruang kepada ketirisan.
“Sebaliknya, bagi saya, GST adalah reformasi fiskal sebenar bukan sahaja menjana pendapatan negara, malah memperkukuh daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.
“Sudah tiba masanya kita berani menilai semula dasar-dasar yang terbukti berkesan. Rakyat Malaysia berhak menikmati sistem percukaian yang telus, cekap dan adil dan GST memenuhi semua ciri tersebut,” ujarnya. – UMNO ONLINE