#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Keberadaan UMNO/BN Dalam Kerajaan Untuk Agenda Perkasa Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan bagi membawa perjuangan parti melalui pemerkasaan agenda Melayu.

Beliau berkata ini dilakukan seiring dengan perkembangan semasa termasuk membabitkan generasi muda melalui pendekatan dilakukan menteri UMNO.

“Kita perlu bangkit dan kuat dengan cara tidak berada luar daripada kerajaan. (Berada dalam kerajaan) Banyak perkara boleh kita buat melalui agenda Melayu bersesuaian dengan zaman, itu sebab TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) diambil Presiden di bawah kementerian beliau.

“Kerana anak Melayu ramai tercicir bukan kerana tidak lulus tetap tidak ambil peperiksaan. Maka kita perlukan platform baharu untuk agenda Melayu.

“Saya selaku Menteri Luar ke China untuk dapatkan beribu tempat hantar anak muda ke sana,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras Empat Peringkat di Dewan Pusat Rekreasi Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah; Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor; serta kepimpinan lain.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dalam pada itu berkata pada ketika ini tiada parti tunggal yang mampu membentuk kerajaan.

Katanya ia bukan hanya berlaku di negara ini bahkan dihadapi negara luar.

“Seluruh dunia hari ini tidak ada satu parti tunggal yang boleh membentuk kerajaan sendiri.

“Carilah satu parti, carilah di banyak negara tak ada lagi zaman sebuah parti boleh bentuk kerajaan secara sendiri,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama menyeru pendukung parti untuk sentiasa realistik dalam mendepani dinamika politik hari ini.

“Gunakan politik yang realistik berbanding politik idealisme. Politik idealisme akan mengkhayalkan dan menghanyutkan kita dalam menghadapi realiti semasa zaman politik yang semakin rumit,” ujar beliau. – UMNO Online