#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

135,000 Huffaz Profesional Menjelang 2050 – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 8 Sept – UMNO memperkukuh semula Dasar Tahfiz Negara dengan mengambil aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi melahirkan lebih 135,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, agenda itu kini diteruskan melalui kemudahan dan institusi pendidikan sedia ada, termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK).

“Menjelang tahun 2050, kita mahu melahirkan lebih daripada 135,000 huffaz profesional. Ini boleh dilaksanakan dengan kuasa dan prasarana yang kita ada hari ini.

“Pendekatan tersebut membuktikan pendidikan al-Quran dan tahfiz boleh diintegrasikan dengan pendidikan arus perdana bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah cemerlang dalam bidang profesional.

“MRSM sahaja mempunyai 58 buah institusi, manakala sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah turut mempunyai kemudahan yang boleh dimanfaatkan untuk agenda ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MARA berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, WTCKL, hari ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia Datuk Dusuki Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rozabil Abdul Rahman; Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad; Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Abdul Halim Tawil; pimpinan parti Pas serta peserta-peserta.

Dalam perkembangan semasa Dr Asyraf membidas persepsi yang mengatakan golongan huffaz hanya mampu menguasai bidang agama dan tidak mampu bersaing dalam bidang profesional perlu ditolak.

“Perkembangan pendidikan tahfiz masa kini membuktikan hafazan al-Quran boleh digabungkan dengan kecemerlangan akademik dan bidang profesional. Tahun ini sahaja, seramai 258 huffaz daripada MRSM mendapat keputusan 10A dalam SPM. Ini menafikan tanggapan bahawa golongan huffaz tidak boleh pergi jauh.

“Ini bukti bahawa seseorang pelajar boleh menguasai al-Quran dan pada masa sama cemerlang dalam bidang akademik,” katanya lagi.

Tegas Dr Asyraf, Dasar Tahfiz Negara perlu dilihat sebagai satu agenda pembangunan modal insan jangka panjang yang mampu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mempunyai penghayatan agama yang kukuh.

“Kalau kita lihat keseluruhan ekosistem ini, kita sebenarnya sudah mempunyai asas yang sangat kukuh. Yang diperlukan ialah bagaimana kita menyusun dan menggerakkan semua prasarana ini secara lebih tersusun untuk merealisasikan sasaran melahirkan huffaz profesional.

“Inilah antara proses pembangunan pendidikan Islam yang perlu kita teruskan demi membentuk generasi masa depan negara,” ujarnya. – UMNO Online