KUALA LUMPUR, 29 Jun – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan tahap kesiapsiagaan anggota dan aset agensi keselamatan di Langkawi pada ketika ini berada pada tahap yang baik dan sentiasa diperkukuh.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tetinggi UMNO berkata usaha itu dilaksana semasa ke semasa melalui peningkatan keupayaan operasi, penempatan aset yang mencukupi serta pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu.
“Bagi memastikan keselamatan perairan sentiasa terpelihara, APMM dan PPM melaksanakan rondaan laut 24 jam sehari, operasi penguatkuasaan berasaskan risikan serta operasi bersepadu bersama agensi keselamatan yang lain melalui pendekatan whole-of-government. Keupayaan ini disokong oleh kekuatan sumber manusia dan aset yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak pada bila-bila masa.
“Dalam konteks APMM, Maritim Negeri Kedah dan Perlis diperkukuh dengan pengisian seramai 294 pegawai dan anggota serta 17 aset maritim yang terdiri daripada tiga buah kapal dan 14 buah bot yang ditempatkan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Pangkalan Maritim Kuala Kedah dan Pangkalan Maritim Kuala Perlis.
“Bagi PPM pula, kekuatan pegawai, anggota dan aset laut di bawah Wilayah 1 merangkumi Markas Operasi Langkawi dengan lima Pegawai Kanan Polis, 53 Pegawai Rendah Polis, dua buah kapal dan empat buah bot, manakala Markas Taktikal Kuala Perlis dan Markas Taktikal Kuala Kedah masing-masing mempunyai lapan dan 17 Pegawai Rendah Polis serta dua buah bot bagi menyokong operasi penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di perairan utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Shamsul berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkenaan tahap kesiapsiagaan aset dan anggota agensi keselamatan di Langkawi dalam menangani ancaman aktiviti penyeludupan migran memandangkan kedudukan Langkawi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Menurut beliau lagi, kesemua aset ini diatur gerak secara konsisten di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan pemantauan berterusan dapat dilaksanakan, seterusnya membolehkan tindak balas yang pantas dan berkesan terhadap sebarang aktiviti penyeludupan migran.
Beliau dalam pada itu turut sama menyentuh berkenaan cadangan penggunaan aset dron atau Unmanned Aerial Vehicle (UAV), katanya kementerian sememangnya bersetuju dengan keperluan memperluaskan penggunaan teknologi tersebut dan sedang merancang pelaksanaannya secara berperingkat di perairan negara termasuk di Langkawi.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Strategik KDN 2026–2030 dan Pelan Strategik Kecerdasan Buatan KDN 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pendekatan Smart Enforcement dalam memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dan keselamatan negara.
“Penggunaan UAV akan bertindak sebagai pengganda keupayaan (force multiplier) kepada aset kapal dan bot sedia ada melalui pelaksanaan pemantauan udara secara masa nyata, khususnya di kawasan yang luas, berisiko tinggi dan mempunyai liputan pengawasan yang terhad.
“Teknologi ini akan membantu meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap pergerakan bot-bot mencurigakan, aktiviti penyeludupan serta pencerobohan perairan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” ujar beliau. – UMNO Online