#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

BN Melaka Bantu Kempen PRN Johor, Misi Raih Kemenangan

BAKRI, 2 Julai – Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka memberikan komitmen penuh untuk memastikan kemenangan calon-calon BN di kawasan Parlimen Bakri dan Muar pada pilihan raya kali ini, selaras dengan usaha memperkukuhkan mandat rakyat terhadap parti itu di Johor.

Timbalan Pengerusi BN Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata, beliau hadir mewakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi menyatakan sokongan dan kesediaan jentera Melaka yang telah diamanahkan bertugas di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bakri iaitu Simpang Jeram, Bentayan dan Bukit Naning.

Menurut beliau, kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi dalam program sembang santai bersama jentera dan masyarakat setempat membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri dalam memastikan kemenangan BN sekali gus mengekalkan kestabilan politik Johor.

“Kami yakin segala usaha, kerja kuat dan komitmen yang dilaksanakan oleh kepimpinan Johor khususnya Menteri Besar menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan kepada rakyat akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan serta undi kepada Barisan Nasional.

“Bagi pihak Barisan Nasional Negeri Melaka, kami memberikan komitmen penuh untuk membantu memenangkan bukan sahaja tiga DUN dalam Parlimen Bakri, malah dua lagi DUN di dalam Parlimen Muar,” katanya.

Rais yang juga Exco Kanan Negeri Melaka memaklumkan lebih 80 jentera dari Melaka telah ditempatkan di kawasan berkenaan sejak awal gerak kerja pilihan raya dan jumlah tersebut dijangka meningkat melebihi 100 orang sepanjang tempoh kempen.

Katanya, tugas menjaga DUN di dalam Parlimen Bakri dan Muar bukanlah sesuatu yang baharu buat jentera Melaka kerana mereka turut diberikan tanggungjawab yang sama pada pilihan raya sebelum ini.

“Ini merupakan kali kedua kami ditugaskan di kawasan ini. Pada pilihan raya lalu juga jentera Melaka menjaga Parlimen Bakri dan Muar. Malah saya sendiri daripada Bahagian Tangga Batu telah bertugas di DUN Simpang Jeram sejak pilihan raya yang lalu,” ujarnya.

Mengulas peluang BN, beliau berkata pihaknya akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon BN di Simpang Jeram selain mempertahankan kerusi Bukit Naning dan merampas kerusi lain yang berpotensi dimenangi.

Menurutnya, momentum sokongan rakyat khususnya di beberapa kawasan dilihat semakin positif dan kembali memihak kepada BN hasil keyakinan rakyat terhadap rekod pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa pengundi Johor cukup matang dalam membuat penilaian dan lebih memahami siapa pemimpin yang benar-benar bekerja serta sentiasa bersama rakyat berbanding pihak yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Orang Johor lebih arif menilai calon-calon tempatan yang sentiasa berada bersama mereka. Ramai boleh menawarkan pelbagai janji, tetapi rakyat tahu siapa yang bekerja setiap hari untuk mereka.

“Kita melihat sendiri bagaimana Menteri Besar Johor turun menjelajah ke seluruh negeri sepanjang kempen. Ini membuktikan komitmen beliau sebagai panglima perang Barisan Nasional untuk memastikan kestabilan Johor terus dipertahankan dan agenda kemajuan negeri dapat diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru seluruh pengundi Johor agar memberikan peluang dan mandat kepada BN untuk terus menerajui negeri tersebut demi menjamin kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat pada masa hadapan. – UMNO ONLINE