KUALA LUMPUR, 25 Sept – Pelaksanaan Agenda Malaysia Biru yang digagaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memerlukan ruang dan peluang luas kepada penampilan muka serta idea baharu.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong, Muhammad Aidil Zailani berkata, pembaharuan merupakan usaha untuk memastikan pengalaman dan kekuatan yang telah dibina dapat diteruskan oleh generasi seterusnya.

“Kita menghormati senior, menghargai pengalaman, jasa dan sumbangan mereka dalam membina serta mempertahankan perjuangan selama ini.
“Setiap pengalaman adalah aset. Setiap jasa wajar dikenang. Namun, dalam menghadapi perubahan zaman dan cabaran masa depan, perjuangan juga memerlukan ruang untuk muka, idea serta tenaga baharu.
“Pembaharuan bukan bermaksud menolak yang lama. Pembaharuan adalah usaha memastikan pengalaman dan kekuatan dibina dapat diteruskan oleh generasi seterusnya dengan pendekatan yang lebih segar, dinamik serta sesuai dengan tuntutan semasa,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, generasi muda juga perlu diberikan peluang dalam proses membuat keputusan, bukan sekadar sebagai tenaga penggerak parti.
“Tuntutan kita jelas. Saya berpandangan kita wajar membuka ruang dan memberi peluang yang lebih luas kepada muka baharu untuk tampil, menyumbang dan mengambil bahagian dalam perjuangan.
“Selain itu, libatkan generasi muda dalam proses membuat keputusan. Jangan sekadar menjadikan anak muda sebagai tenaga penggerak, tetapi berikan mereka ruang untuk menyuarakan pandangan, membawa idea dan terlibat dalam menentukan hala tuju.
“Saya percaya bahawa peluang perlu disertai dengan kepercayaan. Berikan ruang kepada generasi baharu untuk memimpin, menggalas amanah dan membuktikan kemampuan mereka melalui tindakan serta prestasi,” katanya lagi.
Tambahnya, penilaian juga perlu dibuat berdasarkan prestasi di samping membina kesinambungan perjuangan parti antara generasi.

“Penilaian hendaklah dibuat berdasarkan kemampuan, prestasi, integriti, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab… bukan semata-mata berdasarkan usia atau tempoh berada dalam perjuangan.
“…yang senior membimbing, yang muda meneruskan. Pengalaman tidak seharusnya terputus, sebaliknya diwariskan melalui proses bimbingan, perkongsian ilmu dan kepercayaan antara generasi. Kita tidak mahu wujud jurang antara generasi.
“Kita mahu pengalaman generasi terdahulu menjadi panduan generasi baharu manakala keberanian, kreativiti dan tenaga anak muda menjadi pemangkin kepada pembaharuan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa perjuangan yang kukuh mampu melahirkan pelapis untuk memastikan kesinambungan kepimpinan masa hadapan.
“Perjuangan yang kukuh bukan perjuangan yang bergantung kepada satu generasi sahaja. Perjuangan yang kukuh ialah perjuangan yang mampu melahirkan pelapis, memberi ruang kepada mereka untuk berkembang dan memastikan kesinambungan kepimpinan masa hadapan.
“Bukan menggantikan yang lama, tetapi membawa pengalaman lama bersama idea baharu ke hadapan. Bukan menolak senior, tetapi memastikan generasi seterusnya bersedia memikul amanah.
“Bukan sekadar memberi ruang kepada anak muda, tetapi mempercayai mereka dengan tanggungjawab. Inilah pembaharuan yang diperlukan… pembaharuan yang berteraskan pengalaman, dipacu oleh idea baharu dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.
Lapan ikhtiar tersebut merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman