#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Agenda Malaysia Biru Bukan Sekadar Gagasan, Gerakkan Dari Sekarang

JEMPOL, 23 Sept – Agenda Malaysia Biru tidak seharusnya kekal sebagai gagasan, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui kerja dan pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat di akar umbi bermula dari sekarang.

Itu penegasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir ketika turun padang meninjau pelaksanaan projek infrastruktur bekalan air di beberapa lokasi di Negeri Sembilan bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS).

Menurut beliau, semangat pasca-PAU 2026 dan hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjayakan Agenda Malaysia Biru perlu diterjemahkan dengan pendekatan yang dekat dengan rakyat serta memberi penyelesaian kepada keperluan mereka.

“Rakyat tidak melihat pembangunan hanya pada nama projek. Mereka mahu tahu apa hasilnya kepada kehidupan mereka dan bagaimana kepimpinan dalam Barisan Nasional (BN)melaksanakan kerja.

“Kalau kita bercakap tentang agenda besar negara, akhirnya ia mesti sampai kepada perkara asas yang rakyat gunakan setiap hari seperti bekalan air yang cekap dan boleh dipercayai,” katanya.

Terdahulu beliau mengulas berkaitan projek Penggantian dan Pemasangan Flowmeter, Pressure Logger dan Kerja-Kerja Berkaitan yang dianggap amat penting bagi memperkukuh pemantauan sistem bekalan air menerusi data aliran dan tekanan lebih tepat, selain membantu mengesan kehilangan air serta mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).

Mohd Zaidy turut meninjau kerja Skop 2 – Replacement Existing Flowmeter yang kini giat dilaksanakan termasuk kerja penggalian, pemotongan paip sedia ada dan pemasangan flowmeter baharu.

“Yang penting bukan sekadar projek siap, tetapi projek itu berfungsi dengan baik dan memberi impak. Kita mahu rakyat mendapat manfaat daripada setiap ringgit yang dilaburkan,” tegasnya.

Selesai meninjau projek, beliau turut meluangkan masa singgah di ‘port lepak’ warga Felda Palong 2, bertanya khabar dan bersembang santai bersama golongan otai.

“Kadang-kadang dalam sembang santai begini kita dapat dengar cerita dan pandangan rakyat yang mungkin tidak kita dengar dalam mesyuarat rasmi. Sebab itu kita perlu terus turun padang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan turun padang, mendengar dan bertindak perlu terus diperkukuh supaya agenda pembangunan negara benar-benar membumi serta selari dengan semangat perjuangan UMNO untuk terus membawa suara dan kepentingan rakyat. – UMNO Online