#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Agenda Malaysia Biru: Kepentingan Rakyat, Negara Mengatasi Segalanya

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Seluruh rakyat Malaysia disaran untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya bagi memastikan Agenda Malaysia Biru dapat diterjemahkan.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, saranan tersebut dibuat untuk memastikan agenda tersebut dapat diterjemahkan menjadi dasar yang jelas dan nyata demi kepentingan rakyat.

“Untuk menterjemahkan gagasan Malaysia Biru daripada idea kepada dasar dan tindakan yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat, kita hendaklah bermula dengan saranan asal Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saranan tersebut menyeru agar seluruh rakyat meletakkan kepentingan negara di atas segala-galanya tanpa mengira fahaman parti, latar belakang kaum mahupun kedudukan dalam masyarakat.

“Malaysia Biru bukanlah warna milik satu parti atau golongan sahaja, sebaliknya ia adalah warna langit dan laut yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia di bawah satu bendera dan satu kedaulatan. Oleh itu, untuk menjadikan gagasan ini bukan sekadar kata-kata indah semata-mata… ia perlu diterjemahkan menjadi dasar yang jelas dan nyata,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, rakyat turut perlu dilibatkan dalam merangka dan memantau pelaksanaan agenda Malaysia Biru ini.

“Setiap matlamat hendaklah ditetapkan dengan terperinci dan disokong oleh faktor-faktor lain yang saling melengkapi supaya tidak terhenti sekadar ucapan di atas pentas sahaja.

“Lebih penting lagi, segala agihan mesti disalurkan terus kepada rakyat di peringkat akar umbi supaya semua kaum dan kawasan dapat merasainya secara sama rata tanpa ada pihak yang tertinggal atau terpinggir.

“Selain itu, rakyat juga perlu dilibatkan dalam merangka dan memantau pelaksanaannya supaya ia benar-benar memenuhi tuntutan sebenar mereka. Manakala kemajuan dan pencapaiannya pula perlu dilaporkan secara terbuka supaya semua pihak dapat melihat dan menilainya sendiri,” katanya lagi.

Tambahnya, akar umbi memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan ataupun kegagalan pelaksanaan agenda Biru kerana mereka paling dekat dengan rakyat.

“Akar umbi bukan sahaja menjadi penyambung suara antara pucuk pimpinan dan dalam menyampaikan maklumat yang tepat mengenai agenda ini. Mereka amat memahami masalah dan keperluan sebenar rakyat untuk disampaikan kepada pihak atasan supaya tindakan yang diambil benar-benar menepati sasaran.

“Selain itu, akar umbi juga berperanan membuktikan bahawa semangat perpaduan yang terkandung dalam Agenda Malaysia Biru itu benar-benar diamalkan dalam kehidupan seharian, dengan merapatkan jurang antara kaum dan sentiasa bersikap terbuka serta saling menghormati tanpa mengira latar belakang.

“Mereka juga menjadi mata dan telinga dalam memantau pelaksanaan program di tempat masing-masing, memberi maklum balas jujur supaya tiada sebarang ketirisan atau kelemahan yang tidak disedari. Dengan semangat kerjasama dan kesetiaan kepada negara, akar umbi akan dapat memastikan bahawa Agenda Malaysia Biru ini benar-benar dapat direalisasikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar agenda Malaysia Biru dapat berjalan dengan lancar dan disokong oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa sebarang anasir yang membawa kepada perpecahan.

“Harapan saya terhadap Agenda Malaysia Biru ini adalah ia terus berjalan dengan lancar menuju kejayaan tanpa banyak halangan atau rintangan. Semoga gagasan yang sangat baik ini dapat diterima dan disokong oleh seluruh lapisan masyarakat, supaya semangat perpaduan, kestabilan, kemakmuran yang dibawa dapat tumbuh subur serta memberi manfaat nyata kepada semua.

“Diharapkan tiada pihak yang cuba memecahbelahkan atau menjejaskan pelaksanaannya, sebaliknya berganding bahu menjayakannya agar ia menjadi warisan yang membanggakan dan kekal terpelihara untuk kesejahteraan negara serta generasi akan datang,” katanya lagi.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Lapan ikhtiar tersebut merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman