KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kerajaan Negeri Pahang berhasrat untuk memastikan pembangunan berjalan seiring dengan pemeliharaan alam menerusi agenda Pahang 1st.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah berkesempatan merasmikan Tawan Baung Ekor Merah Fest pada Sabtu.

“Hari ini saya merasmikan Pahang 1st: Tawan Baung Ekor Merah Fest di Dataran Pekan Sehari Kuala Krau, sebuah program yang membawa mesej penting tentang pemeliharaan ekosistem sungai dan perlindungan spesies ikan tempatan.
“Justeru, ancaman spesies ikan asing seperti baung ekor merah perlu ditangani bagi memastikan keseimbangan ekosistem sungai serta kelangsungan ikan asli terus terpelihara,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM450,000 bagi Kempen Penghapusan Ikan Asing untuk memperkukuh usaha konservasi dan pembangunan perikanan negeri.

“Pada tahun hadapan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM450,000 bagi Kempen Penghapusan Ikan Asing termasuk baung ekor merah sebagai komitmen memperkukuh usaha konservasi dan pembangunan perikanan negeri.
“Melalui agenda Pahang 1st, kita mahu pembangunan berjalan seiring dengan pemeliharaan alam, demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan khazanah negeri untuk generasi akan datang.
“Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan,” katanya lagi.- UMNO Online