#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Amanah Bukan Sekadar Janji, Kesejahteraan Rakyat Jadi Keutamaan – Mohd Zaidy

JEMPOL, 16 Okt – Kesejahteraan rakyat, penyediaan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, dalam memastikan setiap amanah kepimpinan diterjemahkan melalui tindakan dan hasil yang nyata.

Komitmen itu dizahirkan menerusi pelbagai usaha di kawasan DUN Jeram Padang, termasuk kerja baik pulih rumah penduduk, pembinaan dan penaiktarafan jalan serta projek pemasangan paip air bersih ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kelpin, Jempol.

Menurut Mohd Zaidy, setiap permasalahan rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya, tanpa mengira skala, kerana pembangunan sebenar diukur melalui manfaat yang dapat dinikmati masyarakat.

“Jawatan bukan untuk kemegahan, tetapi amanah untuk dilaksanakan. Kepercayaan rakyat perlu dibuktikan melalui khidmat dan pencapaian, bukan sekadar janji,” katanya.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerja baik pulih rumah Puan Aminah di Kampung Balai Cina, Rompin, bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat buat beliau sekeluarga. Pembinaan jalan baharu ke kediaman Encik Udin Ahmad di kampung sama turut diusahakan bagi memudahkan pergerakan penduduk.

Selain itu, kerja menaik taraf jalan di Kampung Baru Rompin sedang dilaksanakan menerusi projek kerja undi yang diluluskan dengan peruntukan RM100,000 bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Mohd Zaidy merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jempol atas kelulusan permohonan serta kerjasama dalam menjayakan usaha kebajikan dan pembangunan infrastruktur berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, projek pemasangan paip air sepanjang 12 kilometer ke SJKT Ladang Kelpin kini giat dilaksanakan bagi menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada murid, guru dan kakitangan sekolah.

Projek itu melibatkan pemasangan paip jenis High Density Polyethylene (HDPE) bersaiz 63 milimeter. Berdasarkan laporan kemajuan bertarikh 14 Oktober 2026, kerja pembersihan laluan dan penanaman paip masing-masing mencapai 10 peratus, bersamaan 1,200 meter bagi kerja penanaman paip, manakala kerja pemotongan jalan mencapai 25.9 peratus.

Mohd Zaidy berkata pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal dan jadual ditetapkan sehingga bekalan air dapat disalurkan sepenuhnya ke sekolah berkenaan.

“Setiap keperluan rakyat perlu diberikan perhatian, termasuk kemudahan asas pendidikan. Saya berharap projek ini dapat disiapkan dengan baik demi keselesaan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah,” katanya.

Sementara itu, pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah merangkap Timbalan Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS), berkuat kuasa 8 Oktober 2026, disifatkan sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Beliau komited membantu memperkukuh pengurusan serta meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat DUN Jeram Padang.

“Pelantikan ini bukan keistimewaan untuk dibanggakan, sebaliknya tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan. Keutamaan saya terhadap rakyat Jeram Padang akan terus dilaksanakan tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa setiap projek perlu dipantau sehingga selesai, manakala kerjasama antara wakil rakyat, agensi kerajaan dan pihak pelaksana perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan memberi manfaat sebenar kepada masyarakat. – UMNO Online