KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis, Saiful Fariddil Jasmi berpandangan pendekatan sederhana dalam mempertimbang sebarang bentuk kerjasama dengan parti politik lain penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar berkata pendekatan tersebut bagi memastikan parti tidak terikat yang boleh memberi implikasi terhadap pendirian politik pada masa hadapan.
“Sekiranya kita bersatu dengan parti-parti lain, kita takut nanti terhutang budi sebab ini melibatkan parti politik… kerana dengan parti politik ini jangan telampau baik tapi kalau hendak percaya jangan percaya seratus peratus.
“Jadi biarlah kita ambil sikap sederhana sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini antara mana-mana parti.
“Sebab macam di Perlis kami sebenarnya menunggu lampu hijau daripada pemimpin tertinggi lah UMNO negeri,” katanya.
Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini, semalam.
Mengulas berkenaan landskap politik Perlis, beliau berkata UMNO dan PAS merupakan dua parti utama yang mempunyai pengaruh besar dengan persaingan antara kedua-duanya telah berlangsung sejak sekian lama.
Sehubungan itu, beliau berkata sekiranya terdapat perbincangan mengenai penyatuan bagi menghadapi PRU16, pihaknya berharap ia hanya melibatkan UMNO dan PAS.
“Sekiranya ada perbincangan untuk penyatuan, kita berharap agar perbincangan itu biarlah di antara parti UMNO dan PAS sahaja, tidak melibatkan parti-parti lain ataupun Perikatan Nasional.
“Namun jika tidak dapat keputusan untuk pembahagian kerusi itu, kita akan bertanding secara solo di Perlis,” ujar beliau. – UMNO Online