SEREMBAN, 29 Sept – Angkatan Muda Keadilan (AMK) diminta menjawab terlebih dahulu persoalan berhubung campur tangan institusi Persekutuan dalam pentadbiran Negeri Sembilan sebelum terus mendesak Datuk Ismail Lasim berundur sebagai Menteri Besar.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, desakan AMK terlalu mudah meletakkan keseluruhan kemelut di bahu Menteri Besar sedangkan terdapat persoalan serius mengenai peranan institusi Persekutuan.

Menurutnya, Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri, manakala kedua-duanya terus bertugas berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Peguam Negara.
“Jika AMK mahu bercakap mengenai keluhuran undang-undang, prinsip tersebut mesti terpakai kepada semua pihak.
“Jangan hanya mendesak Menteri Besar berundur sedangkan peranan Jabatan Peguam Negara, KSN dan institusi Persekutuan turut menimbulkan persoalan,” katanya.
Mohamad Fadil berkata, AMK juga perlu menjawab sejauh mana campur tangan institusi Persekutuan dalam pentadbiran Negeri Sembilan boleh dibenarkan dan berdasarkan peruntukan undang-undang yang mana.
Beliau berkata, Perkara 74 dan Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.
Katanya, Peguam Negara turut menyatakan pembatalan pelantikan 10 Exco adalah sah berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Justeru, AMK perlu menjawab sejauh mana campur tangan institusi Persekutuan dalam pentadbiran Negeri Sembilan boleh dibenarkan dan atas peruntukan undang-undang yang mana,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Fadil berkata, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak usaha menjadikan kemelut berkenaan sebagai alasan mudah untuk menekan Menteri Besar.
Beliau berkata, jika benar berlaku campur tangan atau penggunaan jentera Persekutuan yang melampaui bidang kuasa sehingga menjejaskan pentadbiran negeri, pihak yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan.
“Akhir kata janganlah AMK jadi seperti ‘anjing menyalak bukit’,” katanya.
Mohamad Fadil turut mendesak Perdana Menteri mengambil tanggungjawab politik terhadap hal ini.
Katanya, jika Kerajaan Persekutuan tidak lagi mampu menjamin penghormatan terhadap pembahagian kuasa dan kestabilan pentadbiran negeri, mandat rakyat wajar dikembalikan melalui pembubaran Parlimen. – UMNO Online