#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Anak Muda Permas Sertai UMNO, Bukti Sokongan Kepada BN

JOHOR BAHRU, 8 Julai – Sokongan golongan muda terhadap Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas terus menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 70 anak muda tempatan menyerahkan borang menyertai UMNO dalam satu program bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM), Rinting Meranti malam tadi.

Calon BN yang juga penyandang DUN Permas, Baharudin Taib berkata, perkembangan itu membuktikan semakin ramai anak muda meletakkan keyakinan terhadap kepimpinan BN dan percaya parti tersebut mampu menjamin masa depan Johor yang lebih stabil serta progresif.

Menurut beliau, anak muda bukan sahaja menjadi kelompok pengundi yang penting pada pilihan raya ini, malah merupakan pelapis kepimpinan yang bakal menerajui pentadbiran negeri dan negara pada masa hadapan.

“Masuk fasa kedua kempen ini, saya bersama jentera akan bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan BN di DUN Permas. Anak muda amat penting kerana merekalah yang akan mengambil alih kepimpinan negeri pada masa depan.

“Dalam program bersama PDM ini, kita menerima 70 borang daripada anak muda tempatan yang menyertai UMNO. Ini satu petanda yang sangat baik kerana mereka yakin dengan pentadbiran dan perjuangan BN,” katanya.

Baharudin turut menegaskan bahawa BN mempunyai keunikan tersendiri menerusi gabungan UMNO, MCA dan MIC yang telah sekian lama menjadi wadah mewakili pelbagai kaum serta membentuk dasar berdasarkan keperluan masyarakat majmuk negara.

Katanya, formula tersebut terbukti berjaya membawa kestabilan politik dan pembangunan yang dinikmati rakyat sejak sekian lama.

“Anak-anak muda hari ini semakin ramai kembali menyokong UMNO kerana mereka sendiri dapat menilai rekod pentadbiran. Rakyat sudah merasai pelbagai bentuk pemerintahan, namun kemajuan yang dikecapi hari ini dibina atas asas yang telah diwujudkan oleh BN.

“Rakyat sudah merasai pentadbiran BN, Pakatan Harapan (PH) dan gabungan PH-Pas di beberapa negeri. Namun, hakikatnya banyak kemajuan yang dinikmati hari ini adalah hasil asas pembangunan yang dibina oleh BN.

“Ada juga janji yang pernah dibuat tetapi tidak ditunaikan, seperti dakwaan harga minyak akan turun sebaik sahaja menang pilihan raya dan janji pemansuhan pinjaman PTPTN. Sebab itu, jangan biarkan rakyat terus diperdaya dengan janji-janji yang tidak ditunaikan.”

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi, khususnya golongan muda, agar membuat pilihan yang tepat pada hari pengundian dengan memberikan mandat kepada BN demi memastikan kesinambungan pembangunan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“11 haribulan semakin hampir. Nilailah apa yang telah dilaksanakan dan berilah sokongan kepada BN supaya Johor terus dipimpin dengan stabil serta membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online