BEHRANG, 22 Sept — Keprihatinan terhadap nasib keluarga yang terkesan akibat banjir terus diberi perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, turun padang menyantuni mangsa banjir di Kampung Orang Asli Kuala Bil (Cluny).
Dalam kunjungan tersebut, Salina yang juga Exco Wanita UMO Malaysia bersama Tok Batin Siran menyampaikan kotak bantuan makanan kepada keluarga yang terjejas sebagai usaha membantu meringankan keperluan harian mereka selepas banjir.

Menurut Salina, meskipun keadaan banjir telah pulih dan air surut, kesan terhadap kehidupan keluarga yang terlibat masih memerlukan perhatian serta sokongan.
“Banjir mungkin sudah surut, tetapi urusan keluarga yang terkesan masih perlu diberi perhatian. Kita berharap bantuan makanan ini dapat meringankan sedikit keperluan mereka sementara kehidupan kembali seperti biasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata, keprihatinan dan kebersamaan semua pihak amat penting dalam membantu masyarakat yang berdepan musibah, khususnya ketika mereka sedang melalui fasa pemulihan.
“Semoga bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga yang terjejas dan memberi semangat kepada mereka untuk kembali meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Salina turut mendoakan agar segala urusan penduduk Kampung Orang Asli Kuala Bil dipermudahkan serta mereka sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.
“Moga Allah permudahkan urusan seluruh warga Kuala Bil dan melindungi mereka daripada musibah yang berulang,” katanya.
Usaha turun padang seperti ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan kebajikan masyarakat yang terkesan akibat bencana sentiasa diberi perhatian, bukan sahaja ketika musibah berlaku tetapi juga sepanjang proses pemulihan. – UMNO Online