#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Belanjawan 2027: RM22.11 Bilion Perkukuh Pertahanan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM22.11 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2027, meningkat RM361.95 juta berbanding tahun sebelumnya bagi memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menjaga kebajikan anggota dan veteran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Daripada jumlah tersebut, RM14.523 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus manakala RM7.585 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Sebanyak RM5.34 bilion turut disediakan bagi aset pertahanan untuk memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi cabaran keselamatan negara.

Dalam aspek kebajikan, RM957.30 juta diperuntukkan bagi perumahan ATM bagi memastikan anggota dan keluarga menikmati kemudahan kediaman yang lebih baik, selesa dan kondusif.

Sementara itu, sebanyak RM304 juta disediakan bagi pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Khaled berkata, kadar pencen terendah turut dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 59,000 penerima termasuk pesara ATM dan penerima pencen terbitan.

“Pertahanan negara adalah amanah besar yang mesti terus dipelihara demi keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan dan perhatian yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan.

Katanya, kementerian komited memastikan setiap peruntukan diurus secara telus, berhemah dan berkesan demi memperkukuh pertahanan negara serta memelihara kebajikan anggota, keluarga dan veteran ATM. – UMNO Online