KUALA LUMPUR, 25 Nov – Setiap pertumbuhan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada rakyat sebagai peluang untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata, kutipan hasil negeri yang memberangsangkan telah membolehkan Belanjawan Negeri Perak dibentangkan dengan peruntukan RM1.693 bilion.

“Syukur Alhamdulillah, ekonomi Perak terus menunjukkan perkembangan yang positif. Kutipan hasil negeri setakat 23 November 2026 telah mencecah RM1.244 bilion dan kewangan negeri mencatatkan lebihan (surplus) empat tahun berturut-turut (2022–2025).
“Berbekalkan kedudukan ini, Belanjawan Negeri Perak 2027 dibentangkan dengan peruntukan RM1.693 bilion, termasuk RM593 juta untuk pembangunan negeri,” katanya.
Ujarnya, Belanjawan Negeri Perak bagi tahun 2027 berteraskan lima fokus untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Lima fokus menjadi keutamaan merangkumi kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi, modal insan, kelestarian alam dan keterjaminan bekalan makanan.
“Apa yang penting bagi kita, setiap pertumbuhan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kehidupan yang lebih baik buat rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama dengan penekanan terhadap kemudahan asas, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
“Setiap keluarga berhak menikmati kehidupan yang lebih baik, selamat dan selesa, tidak kira di bandar mahupun di pelosok desa.
“Atas dasar itu, kesejahteraan rakyat menjadi fokus pertama Belanjawan Negeri Perak 2027, dengan penekanan terhadap kemudahan asas, kebajikan dan pembangunan masyarakat. Kita mahu kemajuan negeri ini dapat dirasai dalam setiap kehidupan seharian rakyat,” katanya lagi.- UMNO Online