#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Bersedia Hadapi PRU16… Manfaatkan Media Sosial Dekati Pengundi

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Dalam persediaan untuk menuju ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, Wanita UMNO perlu memanfaatkan media sosial untuk mendekati para pengundi, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ujarnya, kebolehcapaian media sosial yang tinggi perlu digunakan dengan sebaiknya untuk mendekatkan calon dengan para pengundi di samping menepis segala fitnah dilemparkan pihak lawan.

“Dalam menghadapi PRU, memang kita melaksanakan bancian dari rumah ke rumah. Namun, di kawasan saya sahaja terdapat hampir 100,000 pengundi. Munasabahkah kita mampu berjumpa dengan kesemua pengundi tersebut, khususnya yang berada di luar kawasan?

“Sebab itulah kita perlu menggunakan akses media sosial untuk mendekati para pengundi, memperkenalkan calon dan membetulkan segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti kita.

“Kita dapat melihat sendiri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, setiap hari terdapat pelbagai perkara yang dibangkitkan terhadap calon-calon kita, khususnya calon wanita. Namun, usaha yang dilaksanakan oleh pasukan penerangan banyak membantu memperbetulkan keadaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Kursus Penerangan Wanita UMNO Bahagian Seluruh Malaysia yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berpandangan bahawa parti perlu melakukan persiapan awal supaya lebih bersedia untuk masuk ke ‘gelanggang’ pilihan raya.

“Sebab itulah, bagi menghadapi pilihan raya akan datang, kita perlu membuat persiapan lebih awal. Calon juga perlu dikemukakan lebih awal dan diberikan kursus penerangan bagi mempersiapkan mereka menghadapi pilihan raya. Paling penting, kekuatan mental calon perlu diperkukuhkan.

“Selain pendekatan kempen secara tradisional, iaitu dari rumah ke rumah yang sememangnya menjadi kepakaran Wanita UMNO, kita juga perlu menguasai media sosial. Siapa kata wanita tidak mahir menggunakan media sosial? Wanita sebenarnya lebih mahir dalam bidang ini.

“Apabila diberikan ilmu dan pendedahan, saya percaya Wanita UMNO mampu melaksanakan tugas penerangan dengan baik. Usaha inilah yang sedikit sebanyak membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRN Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan terhadap jentera Wanita UMNO Malaysia untuk bekerja dengan lebih kuat dan responsif terhadap isu-isu semasa.

“Ilmu yang kita peroleh bukan untuk disimpan sendiri. Sebaliknya, kita perlu berkongsi dengan jentera di peringkat akar umbi. Setiap Ketua Penerangan Wanita Bahagian perlu mempunyai pasukan masing-masing untuk membantu menyampaikan maklumat.

“Justeru, harapan kita sangat tinggi terhadap puan-puan, khususnya Ketua Wanita Bahagian dan Ketua Penerangan Wanita Bahagian. Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan. Kemungkinan ia berlaku dalam tempoh yang singkat. Sebab itulah kita perlu sentiasa bersedia.

“Insya-Allah, saya percaya kursus pada hari ini akan memberikan banyak ilmu kepada puan-puan untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing dan dikongsikan bersama jentera penerangan di peringkat bahagian,” katanya lagi.

Turut hadir ke program tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman