#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Biar Rakyat Johor Tentukan, Bukan Kenyataan Sombong Nga Kor Ming

JOHOR BAHRU, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul mengajak rakyat Johor menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medan untuk menghantar mesej jelas kepada Dap dengan memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang turun berkempen bersama Jentera UMNO dan Barisan Nasional Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Johor Jaya dan N.43 Permas berkata, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang kononnya akan meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi PRN Johor, membuktikan sikap angkuh yang tidak sepatutnya dipertontonkan kepada rakyat.

“Kita sampaikan kepada rakyat Johor hasrat dan kenyataan YB Nga Kor Ming yang dengan begitu sombong menyatakan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri jika Barisan Nasional menang dalam PRN Johor.

“Insya-Allah, marilah kita buktikan bahawa suara rakyat Johor adalah suara yang menentukan masa depan negeri ini, bukannya suara sombong,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Johor kini memegang kuasa untuk menentukan hala tuju negeri dan tidak seharusnya dipengaruhi dengan kenyataan berbentuk cabaran atau retorik politik.

Katanya, jika benar rakyat mahukan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kepimpinan yang telah terbukti, maka mandat yang kukuh perlu diberikan kepada BN pada hari pengundian.

“Jadikan PRN Johor sebagai medan untuk membuktikan bahawa rakyat membuat pilihan berdasarkan kepentingan negeri dan kesejahteraan masa depan, bukannya kenyataan yang bersifat mencabar. Ayuh kita pastikan kemenangan Barisan Nasional demi Johor yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” ujarnya.

Sharif Musa turut menegaskan komitmen jentera UMNO dan Barisan Nasional Sabah untuk membantu gerak kerja kempen di Johor sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan besar BN di kerusi-kerusi yang ditandingi.

Terdahulu menerusi satu temubual eksklusif, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Dap dilapor akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.

Menurutnya, Dap juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti tersebut. – UMNO Online