#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

BN Hargai Jasa Warga Tentera, Komitmen Diperkukuh – Rais Yasin

TANGGA BATU, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berharap seluruh warga tentera dan masyarakat setempat memberikan kepercayaan serta peluang kepada BN untuk terus menerajui pembangunan kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurutnya, sebanyak 9,283 pengundi awal di Sungai Udang akan menunaikan tanggungjawab pada 10 November ini, manakala keseluruhan negeri Melaka merekodkan 9,767 pengundi awal dalam kalangan warga tentera yang bertugas di kem-kem sekitar negeri itu.

“Insya-Allah… kita akan terus berusaha merapatkan jurang antara kerajaan dengan keluarga tentera. Sepanjang lebih tiga tahun ini, pelbagai program, aktiviti sukan dan inisiatif telah dilaksanakan bersama warga tentera di Sungai Udang.

“Kita mahu hubungan baik ini terus diperkukuh dan berharap masyarakat setempat juga memberikan ruang serta peluang kepada kami untuk meneruskan khidmat dan pembangunan di kawasan ini.

“… dan saya mendoakan kesejahteraan seluruh warga ATM serta berharap mereka dapat memberikan sokongan kepada calon-calon BN,” katanya selepas program santai anak muda DUN Sungai Udang, malam tadi.

Mengulas mengenai landskap politik negeri, Rais berkata rakyat Melaka cukup matang untuk menilai rekod prestasi kerajaan negeri berdasarkan usaha dan pencapaian yang telah dilaksanakan, bukannya terpengaruh dengan polemik politik.

“Sepanjang pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, kerjasama dalam melaksanakan agenda kebajikan dan pembangunan rakyat berjalan dengan baik, meskipun terdapat perbezaan pandangan politik yang akhirnya membawa kepada keputusan Dap untuk keluar daripada kerajaan negeri.

“Bagi saya, soal sehaluan atau tidak bukan perkara utama. Apa yang penting, kita sentiasa menyokong segala agenda kebajikan dan pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat Melaka.

“Kami di Melaka berada dalam keadaan baik dan menolak politik fitnah, hasut-menghasut serta segala bentuk permainan politik yang boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Rais berharap baki tempoh kempen digunakan untuk memperkukuh politik matang dan sejahtera, selain mengelakkan budaya politik yang berasaskan fitnah serta provokasi.

“Pemimpin politik perlu menunjukkan teladan terbaik kepada lebih 60,000 pengundi muda yang bakal mengundi buat kali pertama pada PRN kali ini.

“Golongan muda ini memerlukan panduan dan pedoman daripada pemimpin. Justeru, kita perlu menunjukkan contoh politik yang matang, berhemah dan bertanggungjawab supaya mereka dapat membuat pilihan berdasarkan fakta serta kepentingan masa depan negeri,” ujarnya. – UMNO Online