HANG TUAH JAYA, 14 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka susulan kemenangan gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata keputusan tersebut dicapai menerusi persetujuan kedua-dua gabungan yang bakal membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti lebih dua pertiga.

“Maka dengan ini, saya mengumumkan bahawa BN dan PN dengan ini mencalonkan Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka.
“Watikah akan saya utuskan pada malam ini juga kepada Tuanku Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media ketika pengumuman keputusan PRN di Pusat Operasi BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.
Terdahulu, BN mencatat kemenangan dengan memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Melaka kali ini, manakala rakan strategik PN memenangi tiga kerusi dan Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi. – UMNO Online