SEKIJANG, 6 Julai – Rakyat Johor diseru untuk terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bagi memastikan segala agenda pembangunan dan kebajikan yang telah dirancang dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Calon BN dan penyandang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Abd Manap berkata, pengalaman selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 seharusnya menjadi pengajaran kepada rakyat bahawa perubahan kerajaan telah menyebabkan banyak perancangan pembangunan tidak dapat diteruskan seperti yang diharapkan.

“BN perlu terus diberi kepercayaan agar kesinambungan kerja yang telah kita laksanakan dapat diteruskan. Rakyat sepatutnya sudah belajar daripada apa yang berlaku pada 2018 apabila banyak perancangan pembangunan terbantut kerana kita tidak lagi menjadi kerajaan ketika itu,” katanya.
Menurut Anuar, rakyat Johor kini semakin matang dalam membuat penilaian politik, terbukti apabila mereka memberikan mandat besar kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 sehingga membolehkan kerajaan negeri dibentuk dengan kukuh dan stabil.
“Bangsa Johor telah membuat pilihan yang tepat apabila memberi mandat besar kepada Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan yang stabil. Kestabilan inilah yang menjadi asas kepada kemakmuran dan pembangunan negeri.
“Jika rakyat mahu melihat Johor terus maju, makmur dan berada pada landasan yang betul, maka Barisan Nasional adalah pilihan terbaik,” tegas beliau.

Mengulas mengenai sokongan rakyat, beliau melihat penerimaan terhadap BN termasuk dalam kalangan pengundi muda semakin positif kerana mereka menilai berdasarkan prestasi dan khidmat yang diberikan, bukannya persepsi yang dimainkan pihak lawan.
“Golongan muda mahukan pemimpin yang mudah ditemui, mudah dihubungi dan benar-benar membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri. Itulah yang kita lakukan dan saya percaya rakyat mampu menilai berdasarkan rekod perkhidmatan, bukan sekadar tohmahan politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN yang terus bekerja tanpa mengenal penat demi memastikan kemenangan parti.
“Saya melihat semangat jentera Barisan Nasional terus membara. Walaupun keletihan, mereka tetap istiqamah turun padang menyantuni rakyat. Inilah kekuatan UMNO dan Barisan Nasional, kita mempunyai jentera yang sentiasa bersedia berjuang demi memastikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan, kerja kuat dan sokongan rakyat, kita akan mempertahankan kemenangan demi meneruskan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat Johor,” katanya. – UMNO ONLINE