MUAR, 7 Julai – Penyandang dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang Cikgu Selamat Takim memaparkan rekod dan kad pencapaian pembangunan sepanjang memberi khidmat di kawasan tersebut pada penggal lalu.
Menurutnya, segala usaha yang telah dilaksanakan adalah demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat DUN Sungai Balang.

“Justeru pada penggal yang akan datang, saya akan terus bertekad dan beriltizam membawa kemajuan dan perubahan untuk DUN Sungai Balang demi memastikan rakyat dalam kawasan tidak ketinggalan menikmati kemakmuran ekonomi negeri yang dipacu dengan baik oleh Kerajaan Barisan Nasional Johor,” katanya.
Berikut merupakan pencapaian Cikgu Selamat dalam aspek pembangunan untuk kawasan DUN yang melibatkan Mukim Parit Jawa, Mukim Seri Menanti dan Mukim Sungai Balang.

Di Mukim Parit Jawa antara rekod pembangunan adalah seperti menaik taraf ‘dry dock’ di pengkalan nelayan bernilai RM200 ribu, pembinaan ‘online pumping’ bagi Bukit Perah (RM2 juta), menaik taraf pelebaran jambatan Parit Kassim, Jalan Abdul Rahman (RM20 juta) dan rancangan penggantian paip lama RanhillSAJ (RM11 juta).
Manakala di Mukim Seri Menanti seperti pembangunan Rumah Mampu Milik Johor, Residensi Bangsa Johor sebanyak 257 unit bernilai (RM84 juta), penambahan dana pembinaan Masjid Parit Pechah melalui Yayasan Noah (RM2.4 juta) dan menaik taraf Klinik Kesihatan Seri Menanti (RM500 ribu).
Begitu juga di Mukim Sungai Balang, pembangunan industri sawah padi Sarang Buaya (RM1.4 juta), pembukaan baharu 50 hektar tanah sawah (RM2 juta) dan menaik taraf jalan sawah Sungai Balang (RM1 juta).
Seterusnya, Cikgu Selamat berharap dengan sokongan dan dukungan daripada warga DUN Sungai Balang, semua rakyat akan menuju kemakmuran bersama dalam Tekad Baharu Sungai Balang yang lebih sejahtera.
“Dipacu dengan kebijakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membina laluan ekonomi yang mampan dan kondusif, Insya-Allah Sungai Balang turut akan memperoleh manfaat yang besar,” katanya lagi. – UMNO ONLINE