#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Dap VS Dap: Teresa Kok Bantah Projek Rumah Madani, Hannah Yeoh Pula Bagaimana?

KUALA LUMPUR, 16 Okt – “Dap lawan Dap, siapa sebenarnya yang perlu menjawab kepada rakyat?” Demikian persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Gulam Muszaffar, Ketua UMNO Bahagian Batu, berhubung kontroversi Projek Perumahan Madani di Bukit Jalil yang turut mencetuskan bantahan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Menurut Gulam Muszaffar, Teresa Kok bersama beberapa NGO dilaporkan hadir ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung projek pembangunan seluas 65 ekar yang dirancang melibatkan 17,000 unit kediaman.

“Berdasarkan angka yang dibangkitkan, hanya 10 peratus daripada keseluruhan unit ditawarkan pada harga RM200,000 ke bawah. Kalau begitu, bagaimana pula dengan baki unit yang lain? Adakah rumah Madani ini benar-benar mampu dimiliki rakyat B40 dan M40, atau akhirnya menjadi rumah mampu tengok sahaja?” katanya berkaitan hal terbabit.

Beliau berkata, isu yang lebih menarik perhatian ialah apabila Teresa Kok, yang juga pemimpin Dap, membangkitkan bantahan terhadap projek yang turut dikaitkan dengan pihak-pihak dalam kerajaan, termasuk KPKT dan DBKL.

“Teresa Kok daripada Dap, Hannah Yeoh juga daripada Dap, Nga Kor Ming juga daripada Dap. Jadi, apabila timbul bantahan seperti ini, rakyat berhak bertanya: apakah pendirian sebenar Dap dalam isu pembangunan perumahan Madani di Bukit Jalil?” katanya.

Menurut beliau, Teresa Kok turut membangkitkan kebimbangan mengenai kesesakan lalu lintas dan kepadatan penduduk yang didakwa boleh bercanggah dengan perancangan di bawah Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2040.

“Kalau perkara sebesar ini boleh menimbulkan bantahan, tidakkah lebih baik semua pihak berkaitan duduk semeja dan menyelesaikannya? Mengapa rakyat perlu melihat pemimpin daripada parti yang sama membangkitkan persoalan terhadap isu yang melibatkan pentadbiran kerajaan sendiri?” soalnya.

Gulam turut mempersoalkan sama ada bantahan itu pernah dibincangkan melalui saluran dalaman Dap sebelum dibawa ke ruang awam.

“Saya tidak tahu sama ada mereka sudah berbincang dalam parti atau belum. Tetapi apabila perkara ini dibangkitkan secara terbuka, sudah tentu rakyat tertanya-tanya, adakah Dap sudah tidak sehaluan sesama sendiri, atau sekadar berbeza pandangan?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa persoalan itu bukan sekadar mengenai hubungan antara pemimpin Dap, tetapi juga mengenai tanggungjawab pihak berkenaan untuk menjelaskan isu yang membabitkan penduduk Bukit Jalil.

Mengulas lanjut, Gulam berkata, kenyataan Hannah Yeoh sebelum ini yang mengumpamakan pembangunan Kuala Lumpur pada era Barisan Nasional seperti “neraka” menjadikan isu pembangunan semasa lebih menarik untuk diperhatikan.

“Dulu pembangunan Kuala Lumpur zaman BN dikritik dan diumpamakan seperti neraka. Sekarang, apabila timbul pula kontroversi projek perumahan berketumpatan tinggi di Bukit Jalil, bagaimana pula penilaian terhadap pembangunan di bawah pentadbiran hari ini?” katanya.

Tegasnya, prinsip yang digunakan untuk mengkritik pentadbiran terdahulu sewajarnya turut digunakan bagi menilai pentadbiran semasa.

“Jangan apabila orang lain mentadbir, semuanya nampak salah. Tetapi apabila perkara yang menimbulkan persoalan berlaku dalam pentadbiran sendiri, rakyat pula diminta menunggu jawapan. Prinsip mesti sama, tidak kira siapa yang memerintah,” katanya.

Ujar Gulam, isu tersebut menimbulkan persoalan yang tidak boleh dipandang ringan apabila pemimpin daripada parti yang sama membawa pendirian yang kelihatan berbeza kepada perhatian umum.

“Teresa Kok bertungkus-lumus membangkitkan bantahan. Sekarang rakyat mahu tahu, apakah tindakan susulan pihak yang bertanggungjawab? Adakah bantahan ini akan membawa perubahan, atau akhirnya tinggal sebagai satu lagi polemik politik?

“Kalau Dap sendiri sudah membangkitkan persoalan terhadap isu yang melibatkan pentadbiran kerajaan sendiri, rakyat tentu mahu tahu siapa yang akan memberikan jawapan. Jangan sampai Dap kritik Dap, Dap persoal Dap, tetapi rakyat Bukit Jalil pula yang menanggung kesannya.”

“Bak kata pepatah, paku dulang paku serpih, mengata orang, diri sendiri yang lebih. Kalau dahulu pembangunan BN diibaratkan neraka, jangan sampai projek Madani pula menjadi bahan sindiran rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan adakah isu terbabit sekadar lakonan politik.

“Akhir sekali, saya nak tanya satu sahaja: Dap sudah gaduh dengan Dap ke, atau ini sekadar lakonan politik? Apa pun jawapannya, rakyat mahu penjelasan, bukan sekadar slogan Madani,” katanya lagi. – UMNO Online