KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Dinamika politik di Malaysia sentiasa berubah mengikut faktor dan keadaan semasa, justeru prestasi serta kemampuan kerajaan menterjemahkan hasil kepada rakyat perlu menjadi ukuran utama dalam memastikan sokongan pengundi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani yang juga Timbalan Ketua UMNO Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata demikian selepas menghadiri Forum Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan yang berlangsung di Auditorium UMNO, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, forum yang membincangkan ‘Dinamika Baharu Politik Malaysia’ itu memberikan perspektif penting mengenai perubahan landskap politik negara berdasarkan dapatan dan analisis daripada panel berpengalaman termasuk Merdeka Center dan Ilham Centre.

“Daripada dapatan pada forum ini, boleh saya simpulkan dinamika politik sentiasa berubah-ubah mengikut beberapa faktor dan keadaan.
“Apa yang lebih penting adalah tentang prestasi yang dapat kita terjemahkan kepada pengundi dan memberi kesan atasnya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Forum berkenaan dipengerusikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama barisan panelis terdiri daripada Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Sufian; Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar; Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri; serta Dr Bridget Welsh dari University of Nottingham Malaysia.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pimpinan BN lain turut hadir.
Najib seterusnya berkata forum berkenaan turut menjadi ruang yang baik untuk pemimpin dan anggota parti membuat penelitian terhadap perkembangan politik semasa serta memahami faktor yang mempengaruhi kecenderungan pengundi.
Katanya, penelitian secara berterusan penting bagi memastikan usaha memperkukuh kestabilan politik dapat diteruskan demi masa depan negeri dan negara yang lebih stabil, maju serta berdaya saing.
“Forum yang baik untuk sama-sama kita buat penelitian dan terus menjamin masa depan negeri dan negara yang lebih stabil dan maju,” katanya.
Najib turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan dalam BN yang bersama-sama menghadiri forum tersebut. – UMNO Online