KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan kebocoran dokumen yang dikatakan mengandungi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan sehingga tersebar secara terbuka di media sosial.
Beliau mempersoalkan bagaimana dokumen yang didakwa bersifat sulit itu boleh diperoleh dan disebarkan oleh beberapa pemimpin Dap, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan maklumat serta integriti institusi berkenaan.

Menurutnya, pihak polis perlu mengenal pasti individu yang membekalkan dokumen terbabit, termasuk bagaimana maklumat tersebut diperoleh dan atas kapasiti apa ia disalurkan kepada pihak politik.
“Persoalannya, bagaimana dokumen yang sepatutnya dikendalikan secara sulit boleh tersebar dengan begitu meluas? Dari mana sumber dokumen ini diperoleh?
“Jika benar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan telah dibocorkan, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang membekalkan dokumen tersebut kepada pihak tertentu?” katanya dalam satu kenyataan media.
Armand Azha turut mempersoalkan sama ada maklumat berkenaan diperoleh daripada pihak kementerian atau individu yang mempunyai akses kepada dokumen tersebut, termasuk kemungkinan penglibatan pihak yang mempunyai kedudukan dalam pentadbiran kerajaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap mana-mana individu tanpa bukti dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional serta menyeluruh.
“Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan tanpa bukti. Namun, perkara ini amat serius kerana ia melibatkan persoalan kerahsiaan, integriti dan tatakelola institusi negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa PDRM mengambil langkah berikut:
1. Mengenal pasti sumber asal dokumen yang didakwa bocor.
2. Menyiasat pihak yang memperoleh, membekalkan dan menyebarkan dokumen berkenaan.
3. Menentukan sama ada berlaku pelanggaran undang-undang atau prosedur kerahsiaan.
4. Mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak sekiranya kesalahan dapat dibuktikan.

Armand Azha turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dipandang ringan atau dijadikan pertikaian politik semata-mata kerana ia menyentuh kepentingan institusi negara.
“Undang-undang mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau parti politik. Jangan ada layanan dua darjat!” katanya.
Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, prinsip kerahsiaan, integriti dan tatakelola perlu dipertahankan secara konsisten tanpa mengira pihak yang terlibat.
Beliau berharap PDRM tidak berlengah untuk menyiasat perkara tersebut demi memastikan sebarang dakwaan kebocoran dokumen rasmi dapat dirungkai dan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud kesalahan. – UMNO Online