#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Geng Biru Iringi Perarakan Rais Ke Pusat Penamaan Calon

TANGGA BATU, 31 Okt – Laungan “Kita geng biru, mana lagi? Melaka ler! Mana lagi? Sungai Udang lerrr!” bergema mengiringi perarakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin, ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, hari ini.

Perarakan menuju ke Dewan Serbaguna Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang itu berlangsung meriah dengan kehadiran pimpinan parti serta penyokong BN yang memberikan sokongan kepada calon berkenaan.

Perarakan diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, serta barisan pimpinan BN dan para penyokong.

Turut memeriahkan suasana ialah kehadiran Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, bersama wakil parti itu yang turut serta sebagai tanda solidariti permuafakatan dalam menghadapi PRN Melaka kali ini.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum calon BN, Datuk Rais Yasin, menyampaikan ucapan ringkas kepada para penyokong yang berkumpul di perkarangan Benzo Motor, Taman Terendak Height.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN N11 Sungai Udang, Datuk Anis Hasan, mengumumkan tiga calon yang disahkan bertanding selepas proses penamaan calon selesai dijalankan.

“Saya selaku Pegawai Pengurus bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N11 Sungai Udang dengan ini memaklumkan bahawa saya telah menerima kertas penamaan calon daripada tiga orang calon bagi pemilihan ke Dewan Undangan Negeri bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N11 Sungai Udang,” katanya.

Beliau memaklumkan calon pertama, Muhammad Rizwan Abdul Rahman daripada Parti Bersama, menyerahkan kertas penamaan pada jam 9.04 pagi, diikuti Rais Yasin daripada BN pada jam 9.11 pagi dan Abdullah Mahadi daripada Parti Bersatu pada jam 9.16 pagi.

Menurutnya, selepas semakan dilakukan, beliau berpuas hati dengan kertas penamaan yang diterima dan memutuskan tiada kertas penamaan calon ditolak.

“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa calon-calon yang disahkan bertanding bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N11 Sungai Udang adalah seperti yang disenaraikan mengikut susunan dalam kertas undi,” katanya.

Pengumuman itu mengesahkan pertandingan tiga penjuru bagi DUN Sungai Udang pada PRN Melaka 2026. – UMNO Online