#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

GST Lebih Telus, SST Dipersoal! Armand Azha Cabar Kerajaan Buka Mata

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kerajaan MADANI dicabar supaya membuka semula perbincangan secara serius mengenai pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan membentangkan kajian perbandingan menyeluruh antara GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), khususnya dari aspek ketelusan, kecekapan kutipan hasil, kos perniagaan serta kesannya terhadap kuasa beli rakyat.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor merangkap Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, perdebatan mengenai GST dan SST tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut kadar cukai, sebaliknya perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi negara.

Menurut beliau, GST mempunyai kelebihan dari sudut struktur percukaian kerana mekanisme Input Tax Credit membolehkan perniagaan menuntut semula cukai input yang layak, sekali gus mengurangkan risiko cukai bertindih sepanjang rantaian pengeluaran dan pengedaran.

“Persoalannya bukan GST atau SST semata-mata. Persoalan sebenar ialah sistem percukaian mana yang lebih cekap, lebih telus, lebih adil kepada rakyat dan mampu menjana hasil negara tanpa membebankan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, berbanding GST, SST tidak menyediakan mekanisme kredit cukai input secara umum, menyebabkan cukai yang dikenakan pada peringkat terdahulu berpotensi menjadi sebahagian daripada kos operasi dan pengeluaran sebelum dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan.

Selain itu, GST juga dilihat lebih telus kerana cukai dapat diperincikan dalam invois transaksi, membolehkan pengguna mengetahui jumlah cukai yang dikenakan terhadap pembelian mereka.

“Rakyat berhak tahu berapa banyak cukai yang mereka bayar. Ketelusan bukan sekadar soal memaparkan angka dalam resit, tetapi memastikan rakyat memahami bagaimana sistem percukaian memberi kesan kepada harga barangan, kos perniagaan dan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Dalam mengulas perbandingan kutipan hasil, Armand Azha berkata angka yang dilaporkan Kementerian Kewangan di Parlimen menunjukkan kutipan GST dari April 2015 hingga Mei 2018 berjumlah RM184.8 bilion, manakala kutipan SST dari September 2018 hingga Disember 2023 berjumlah RM150.4 bilion.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kedua-dua angka tersebut melibatkan tempoh dan keadaan ekonomi yang berbeza, justeru tidak boleh dibandingkan secara langsung sebagai ukuran prestasi tahunan.

Sebaliknya, katanya, angka berkenaan perlu dijadikan asas kepada penilaian lebih mendalam mengenai keupayaan setiap sistem dalam menjana pendapatan negara.
Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan memperluaskan skop SST serta menaikkan kadar umum cukai perkhidmatan daripada enam kepada lapan peratus pada Mac 2024, diikuti peluasan skop pada Julai 2025.

“Kerajaan perlu menjawab satu persoalan penting, adakah peluasan SST benar-benar menjadikan sistem percukaian lebih cekap dan mengurangkan beban kos perniagaan, atau akhirnya sebahagian daripada kos tersebut dipindahkan kepada pengguna?” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula GST secara berperingkat, bermula pada kadar tiga peratus bagi tempoh lima tahun pertama sebelum dinilai untuk dinaikkan kepada lima peratus dan seterusnya enam peratus, tertakluk kepada keadaan ekonomi serta kemampuan rakyat.

Menurutnya, pendekatan berperingkat itu berpotensi memberi ruang penyesuaian kepada pengguna, syarikat dan kerajaan, selain membolehkan kesan pelaksanaan dinilai secara lebih sistematik.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan semula GST perlu disertai perlindungan menyeluruh kepada rakyat, termasuk mengekalkan layanan cukai yang sesuai bagi barangan keperluan asas, mempercepatkan bayaran balik cukai kepada perniagaan, menyediakan kemudahan pematuhan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta memperkukuh bantuan bersasar kepada golongan B40 dan kumpulan rentan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kerajaan meneliti semula struktur cukai terhadap sektor makanan dan minuman bagi mengelakkan pertindihan beban cukai kepada pengusaha restoran dan kafe serta pengguna.

Beliau berpandangan bahawa sebarang caj tambahan berbentuk tip atau ganjaran perkhidmatan secara sukarela boleh dipertimbangkan sebagai alternatif, tertakluk kepada kesesuaian undang-undang dan amalan industri.

“Saya tidak mencadangkan GST dikembalikan secara membuta tuli. Kita perlu belajar daripada pengalaman lalu, memperbaiki kelemahan pentadbiran dan memastikan setiap ringgit cukai yang dikutip memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Armand Azha menegaskan bahawa isu percukaian tidak sepatutnya menjadi pertarungan mempertahankan dasar kerajaan atau kepentingan politik mana-mana pihak, sebaliknya perlu berteraskan kepentingan nasional.

“Jangan takut untuk membuka perbincangan mengenai GST hanya kerana bimbang menerima kritikan. Lebih baik kita berani bercakap benar dan menilai dasar secara terbuka daripada terus berdiam diri sedangkan masa depan ekonomi serta beban hidup rakyat menjadi pertaruhan,” katanya.

Beliau mencabar Kerajaan MADANI supaya membentangkan satu kajian perbandingan GST dan SST secara terbuka, merangkumi kesan kepada pengguna, perusahaan kecil dan sederhana, sektor industri, pelaburan serta kedudukan fiskal negara.

“Apa yang perlu dipertahankan bukanlah GST atau SST, bukan juga dasar mana-mana kerajaan. Apa yang wajib kita pertahankan ialah kepentingan rakyat, daya saing ekonomi dan masa depan Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online