KUALA LUMPUR, 29 Jun – Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan dengan masyarakata, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpandangan bahawa program tersebut turut menyumbang kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota melalui pemupukan gaya hidup sihat.

“Berkesempatan untuk turut hadir dalam Karnival Hari Keluarga ATM Zon Selatan anjuran 7 Briged di X-Park, Kluang, Johor.
“Penganjuran program seperti ini bukan sekadar menghimpunkan warga ATM dan keluarga, malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota melalui pemupukan gaya hidup sihat serta pengukuhan kecergasan fizikal mahupun mental.
“Program seperti ini juga penting dalam membina semangat setiakawan, kebersamaan dan nilai kekitaan dalam kalangan warga ATM. Melalui interaksi yang lebih rapat, anggota dan keluarga dapat saling mengenali, memperkukuh jaringan serta mendukung matlamat dan objektif pasukan secara bersama,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pertahanan negara memerlukan penyertaan dan penglibatan seluruh rakyat selaras dengan semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

“Dalam masa yang sama, program seperti ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat. Hubungan yang erat ini penting dalam memupuk kefahaman, semangat patriotisme dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap ATM.
“Selaras dengan semangat HANRUH, pertahanan negara memerlukan penyertaan dan penglibatan seluruh rakyat dalam usaha mempertahankan keamanan, kestabilan serta kedaulatan negara.
“Syabas kepada Panglima 7 Briged dan seluruh warga briged atas kejayaan menganjurkan karnival ini. Terima kasih atas jemputan untuk turut bersama memeriahkan program ini,” katanya lagi. – UMNO Online