KUALA LUMPUR, 10 Nov – Isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sekadar persoalan politik, sebaliknya melibatkan prinsip Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, perkara itu perlu difahami berdasarkan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2026, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui kaedah tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Menurutnya, pada 6 November lalu, denda RM50 juta telah dibayar dan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah, namun Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaannya sementara bagi mendapatkan penjelasan undang-undang.
Katanya, pada 7 November, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menegaskan bahawa perintah pengampunan tersebut jelas, syaratnya telah dipenuhi dan pelaksanaannya hendaklah dihormati.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara menghormati titah serta keputusan Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan sebagai prerogatif diraja.
“Sekiranya terdapat persoalan dari sudut tafsiran undang-undang, perkara tersebut hendaklah diselesaikan melalui saluran perundangan yang sewajarnya, tanpa mengetepikan atau melengahkan pelaksanaan titah Seri Paduka Baginda,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan mahkamah dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati tanpa sebarang percanggahan dalam prinsip keadilan.
“Kita tidak boleh hanya menuntut supaya rakyat menghormati keputusan mahkamah, tetapi pada masa yang sama membiarkan keputusan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dipersoalkan.
“Prinsip Raja Berperlembagaan mesti dipertahankan, Perlembagaan mesti dihormati dan kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan tanpa memilih kedudukan atau individu,” katanya.- UMNO Online