#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Jangan Permainkan Institusi Raja, UMNO Sabah Gesa Kerajaan Beri Penjelasan

KOTA KINABALU, 19 Nov – UMNO Sabah memandang serius dan kesal terhadap pendedahan serta penularan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kini mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop berkata, kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, segala urusan berkaitan Lembaga Pengampunan sewajarnya dikendalikan dengan penuh tertib, tanggungjawab dan penghormatan terhadap kedudukan serta kemuliaan institusi diraja.

“Persoalan utama yang perlu dijawab oleh Kerajaan Persekutuan ialah sama ada proses penyahklasifikasian dan pendedahan dokumen berkenaan telah dilaksanakan mengikut prosedur serta mendapat perkenan yang sewajarnya.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan institusi tertinggi negara dan prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal ini.

Beliau menegaskan bahawa urusan pengampunan diraja tidak seharusnya diperalatkan sebagai bahan perbalahan politik atau dijadikan ruang untuk mempertikaikan kewibawaan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, kebebasan bersuara dan ketelusan pentadbiran tidak bermakna mana-mana pihak boleh mengetepikan adab, tanggungjawab serta penghormatan terhadap Perlembagaan.

Sehubungan itu, UMNO Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan rasmi dan menyeluruh mengenai asas perundangan, proses penyahklasifikasian serta pihak yang bertanggungjawab terhadap pendedahan minit mesyuarat berkenaan.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa pilih kasih,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah sebagai sebahagian daripada keluarga besar Malaysia turut mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu dan kestabilan sistem kenegaraan negara.

Tegasnya, pendirian UMNO Sabah jelas bahawa institusi Raja-Raja Melayu mesti dihormati, kuasa Yang di-Pertuan Agong mesti dipelihara dan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipermainkan demi kepentingan politik mana-mana pihak. – UMNO Online