#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Jangan Pertikaikan Kewajipan Solat Jumaat, Hormati Sensitiviti Agama Islam

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang mendesak Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menarik balik kenyataan yang mempersoalkan pelaksanaan arahan penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu selama dua jam pada setiap Jumaat bagi memberi ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Ketuanya, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, solat Jumaat merupakan kewajipan agama bagi lelaki Islam yang memenuhi syarat dan bukannya sekadar aktiviti keagamaan biasa yang boleh dinilai hanya dari sudut kepentingan operasi perniagaan.

“Sebarang usaha menyediakan ruang dan kemudahan kepada umat Islam untuk menunaikan kewajipan tersebut perlu difahami dan dihormati, bukannya dilihat semata-mata dari sudut kepentingan operasi perniagaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, dasar penutupan sementara premis perniagaan dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang itu bukan perkara baharu kerana pelaksanaannya mempunyai sejarah pentadbiran sejak 2014 ketika Barisan Nasional mentadbir Terengganu.

Justeru, katanya, isu berkenaan perlu dinilai berdasarkan konteks sejarah, keperluan masyarakat dan dasar pentadbiran negeri, bukannya dijadikan polemik politik.

Shah Zanuriman turut menegaskan bahawa menghormati kepentingan umat Islam tidak bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Islam, sebaliknya prinsip saling menghormati perlu dilaksanakan secara adil dalam sebuah negara majmuk.

“Malaysia sebuah negara majmuk yang menjunjung prinsip saling menghormati. Hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing perlu dipelihara, begitu juga kewajipan umat Islam yang perlu diberikan penghormatan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Khoo menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam sekiranya kenyataan tersebut menimbulkan salah faham serta menyinggung sensitiviti agama.

Beliau turut meminta Ahli Parlimen berkenaan memberikan penjelasan secara bertanggungjawab supaya kenyataan itu tidak mencetuskan polemik, prasangka atau ketegangan antara kaum dan agama.

Dalam masa sama, Pemuda UMNO Selayang menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti kenyataan asal berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat unsur yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta memenuhi elemen kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 atau undang-undang berkaitan.

Menurutnya, sekiranya terdapat asas kesalahan, tindakan sewajarnya perlu diambil mengikut lunas undang-undang.

“Jangan kerana kepentingan politik, kewajipan agama dipolemikkan. Jangan kerana perbezaan pandangan, sensitiviti umat Islam dipandang ringan,” tegasnya.

Beliau menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, manakala keharmonian negara tidak boleh dibina dengan mengorbankan sensitiviti agama mana-mana pihak. – UMNO Online