HANG TUAH JAYA, 10 Nov – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya membidas pihak yang menganggap politik identiti tidak lagi relevan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar menegaskan sebaliknya konsep itu perlu difahami dalam konteks kesatuan kelompok yang menjamin kesejahteraan negara dan kestabilan politik.
“Ini kerana politik identiti bukan bermaksud identiti itu menjadikan kita bersekongkol dalam melakukan kemungkaran.
“Sebaliknya, identiti merujuk kepada kesatuan kelompok dominan atau kelompok induk yang berperanan menjamin kesejahteraan sesebuah negara dan kestabilan politik.
“Hal ini kerana sekiranya kelompok induk berpecah, ia boleh membawa masalah kepada negara. Jadi, perkara ini perlu difahami dalam konteks Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Melayu beragama Islam.
“Selain itu, Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu, Sabah dan Sarawak… jadinya politik identiti ini tidak seharusnya disalahertikan,” katanya.
Dr Fathul berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan ceramah di Pentas Gelombang Biru Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Bukit Baru, sini semalam.
Dalam pada itu beliau menegaskan usaha penyatuan tersebut perlu dipertahankan daripada sebarang percubaan mengapi-apikan perbezaan dan membangkitkan perselisihan.
Jelasnya, usaha penyatuan ummah yang kini dibawa ke Melaka tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada pihak lain.
“Usaha penyatuan yang sebenarnya bermula di Johor, kemudian dibawa ke Negeri Sembilan dan kini kesannya dapat dilihat secara lebih meluas di Melaka.
“Jangan ada pihak ketiga yang masuk campur atau mengganggu usaha penyatuan ini, sama ada pihak luar mahupun kelompok di sekeliling kita.
“Kita mahu membiarkan BN dan PN sebagai dua kelompok politik utama untuk menggerakkan penyatuan serta memberi ruang kepada parti-parti lain yang ingin bersama. Tidak mahu perkara yang pernah berlaku dahulu berulang kembali,” ujar beliau. – UMNO Online