KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan pihak yang bakal menanggung kos susulan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000, sambil mengingatkan kerajaan agar tidak mengabaikan kesannya terhadap harga barang dan kuasa beli rakyat.
Menurut beliau, kenaikan gaji yang kelihatan menarik di atas kertas belum tentu memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat sekiranya kos tambahan majikan akhirnya dipindahkan kepada pengguna.
“Yang dapat kenaikan gaji hanya sebahagian pekerja, tetapi yang mungkin terpaksa menanggung kenaikan harga barang ialah seluruh rakyat!
“Inilah kesan domino yang kerajaan mesti fikirkan,” katanya mengulas berkenaan Belanjawan 2027 iaitu kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan serta pengenalan gaji permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.

Beliau mempersoalkan sama ada syarikat besar sanggup menyerap peningkatan kos gaji dengan mengurangkan keuntungan atau memilih untuk memindahkan beban tersebut kepada pengguna melalui kenaikan harga barang.
“Apabila kos membayar gaji meningkat, adakah kita yakin syarikat-syarikat besar akan sanggup mengurangkan keuntungan mereka?
“Atau akhirnya kos tambahan ini dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang?” katanya.
Akmal menegaskan beliau menyokong kenaikan gaji pekerja, namun kerajaan perlu memastikan dasar itu tidak akhirnya menekan golongan rakyat yang tidak menikmati kenaikan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memantau harga barang dan perkhidmatan secara berkala serta memperkukuh penguatkuasaan terhadap kartel, pencatutan dan manipulasi harga.
Beliau turut mencadangkan bantuan bersasar kepada perusahaan mikro dan kecil yang benar-benar terkesan menerusi insentif sementara, latihan produktiviti dan sokongan automasi, bukannya bantuan terbuka yang akhirnya menguntungkan syarikat besar.
Selain itu, pelaksanaan gaji minimum perlu dibuat secara berperingkat dan berdasarkan data dengan mengambil kira kemampuan majikan, produktiviti pekerja serta kos sara hidup mengikut negeri dan sektor.
Kerajaan juga perlu memperluas peluang pekerjaan bergaji lebih baik, meningkatkan kemahiran pekerja serta menerbitkan laporan berkala yang telus mengenai kesan dasar berkenaan terhadap harga barang, keuntungan syarikat, peluang pekerjaan dan kuasa beli rakyat.
Akmal menegaskan kerajaan tidak seharusnya sekadar mengumumkan kenaikan gaji tanpa memastikan peningkatan pendapatan itu benar-benar meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi kos sara hidup.
“Jangan hanya sibuk mengumumkan kenaikan gaji RM300, tetapi gagal memastikan kuasa beli rakyat benar-benar meningkat!
“Kerana rakyat bukan makan angka gaji di atas kertas. Rakyat perlu membayar harga barang di dunia sebenar!” katanya lagi. – UMNO Online