LENGGONG, 12 Okt – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memuji semangat dan komitmen yang ditunjukkan jentera Barisan Nasional (BN) Lenggong ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jentera BN Lenggong di Arena Amanjaya Lawin, semalam.
Beliau berkata, semangat yang ditampilkan jentera parti itu mencerminkan tekad bersama untuk terus memperkukuh kekuatan parti serta memastikan perjuangan BN terus mendapat tempat di hati rakyat.

Menurutnya, komitmen berterusan daripada seluruh jentera amat penting bagi memastikan usaha mendekati masyarakat dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Melihat semangat yang ditunjukkan, saya percaya kita semua mempunyai satu tekad yang sama, iaitu untuk terus memperkukuh kekuatan parti ini dan pastikan perjuangan ini terus mendapat tempat di hati rakyat,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Saarani turut menyeru seluruh jentera BN Lenggong supaya terus bekerja keras, turun padang dan mendekati masyarakat bagi memahami keperluan serta aspirasi rakyat.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN Lenggong atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan dalam menjayakan usaha memperkukuh gerak kerja parti di kawasan berkenaan.

“Terima kasih kepada seluruh jentera BN Lenggong atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan. Mudah-mudahan segala usaha dan kerja keras kita dipermudahkan Allah SWT,” katanya.
Majlis pelancaran itu menjadi antara usaha menggerakkan jentera BN Lenggong bagi memperkemas gerak kerja di lapangan serta memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat. – UMNO Online