TANJUNG PIAI, 8 Julai – Barisan Nasional (BN) terus memperkemaskan gerak kerja kempen di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang hari pengundian dengan kerjasama erat antara jentera tempatan dan pelbagai peringkat lain.
Perkara berkenaan dapat dilihat di seluruh Johor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup turut menerima suntikan daripada UMNO bahagian Pekan yang turut sama berkempen bersama jentera tempatan bermula awal kempen minggu lalu.
Timbalan Ketua UMNO Pekan, Datuk Rahimi Abdul Samad berkata, semangat serta kerjasama yang ditunjukkan di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) memberi keyakinan bahawa sokongan rakyat akan diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian.
Beliau yang turun padang bersama calon BN DUN Kukup, Hj Israk Abdullah di PDM Andek Mori, petang tadi berkata UMNO Bahagian Pekan yang ditugaskan membantu kempen calon BN di DUN berkenaan akan terus berkampung di kawasan tersebut sehingga tamat proses pengundian.
“Alhamdulillah, saya melihat semangat dan kerjasama antara jentera tempatan dan sebagainya cukup baik. Gabungan jentera tempatan bersama pasukan bantuan dari Pahang memberi kelebihan kepada BN untuk memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar sehingga hari mengundi,” katanya kepada UMNO-Online.
Rahimi seterusnya berkata, tiada ruang untuk jentera berasa selesa kerana masih ramai pengundi yang perlu disantuni menerusi pendekatan bersemuka dan pelbagai program lain.
“Kita akan terus turun padang bertemu seramai mungkin pengundi. Pendekatan secara langsung lebih berkesan kerana kita dapat mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai kempen pembangkang, beliau berpandangan isu-isu yang dibangkitkan tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat Johor, sebaliknya hanya mengitar semula naratif lama.
“Pembangkang sudah kehabisan modal. Mereka cuba mengaitkan isu nasional yang langsung tidak berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri Johor. Sedangkan rakyat mahu melihat siapa yang benar-benar mampu mentadbir dan membawa pembangunan kepada negeri ini,” katanya.
Beliau turut memuji disiplin jentera BN yang disifatkan kekal tenang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang kempen, beliau yakin BN mampu mempertahankan kerajaan negeri dengan memperoleh lebih 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Johor.
“Rakyat Johor sudah dapat menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan saya yakin mereka akan membuat pilihan berdasarkan prestasi serta kestabilan yang telah dibuktikan,” katanya.- UMNO Online