#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Johor Perkasa Penguatkuasaan, Peniaga Ingkar Diambil Tindakan

JOHOR BAHRU, 25 Nov – Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap kegiatan pembuangan sampah haram, kesalahan kebersihan awam serta pelanggaran syarat lesen premis perniagaan bagi memastikan persekitaran negeri ini kekal bersih, teratur dan selamat untuk didiami.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan penguatkuasaan secara konsisten perlu disertai kesedaran dan tanggungjawab masyarakat dalam menjayakan Kempen Johor Bersih, selaras dengan agenda Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai dan Tanjung Surat pada persidangan Dewan Negeri Johor berhubung penguatkuasaan sampah haram serta usaha memperkukuh Kempen Johor Bersih.

Menurutnya, bagi tempoh Januari 2025 hingga Oktober 2026, SWCorp Johor telah melaksanakan 1,196 operasi penguatkuasaan sampah haram yang membawa kepada 32 tangkapan dan 34 kes pendakwaan, dengan jumlah denda sebanyak RM585,000.

“Pihak yang membuang sampah sesuka hati perlu bertanggungjawab. Keuntungan atau kemudahan segelintir pihak tidak boleh dibayar dengan kesihatan dan keselesaan penduduk,” katanya.

Bagi kesalahan membuang sampah kecil pula, sebanyak 3,776 operasi dilaksanakan sepanjang Januari hingga Oktober 2026, dengan 3,513 Notis Pemberitahuan Kesalahan dikeluarkan.

Sebanyak 204 kes telah diputuskan mahkamah dengan jumlah denda RM116,350, manakala 198 pesalah diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 1,161 jam.

Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 170 notis dan 4,192 kompaun bernilai keseluruhan RM1.13 juta direkodkan bagi tempoh 2025 hingga September 2026.

Dalam usaha membudayakan kebersihan, program plogging yang dilaksanakan di 16 PBT sejak 2022 hingga Oktober 2026 berjaya mengumpulkan lebih 1.36 juta kilogram sampah dengan penyertaan seramai 130,454 orang.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Jafni yang juga ADUN Bukit Permai bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Warisan Negeri Johor merangkap ADUN Perling, YB Pannir, serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Ahli Majlis telah menyertai operasi penguatkuasaan papan iklan tanpa kebenaran dan pemeriksaan lesen premis di sekitar Jalan Wong Ah Fook, berhampiran Komtar, Johor Bahru.

Operasi itu memberi tumpuan kepada pematuhan syarat pemasangan papan iklan, lesen perniagaan serta aktiviti pengoperasian premis.

Hasil pemeriksaan, sebanyak sembilan unit papan iklan tambahan tanpa kebenaran telah diturunkan mengikut prosedur penguatkuasaan, manakala semua barang sitaan dibawa ke Stor Simpanan Mount Austin untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan turut mengenal pasti beberapa perkara yang memerlukan semakan lanjut, termasuk penggunaan tulisan bahasa Nepal pada papan tanda, status pemegang lesen serta kebenaran bekerja petugas bukan warganegara.

Mohd Jafni berkata, pihak berkuasa turut diarahkan menyiasat kemungkinan penyalahgunaan, pemindahan atau penyewaan lesen kepada pihak lain berdasarkan bukti dan dokumentasi lengkap.

“Saya turut mengarahkan tindakan penutupan premis serta pembatalan lesen dilaksanakan bagi kes yang memenuhi asas perundangan, setelah kesalahan disahkan dan tatacara tindakan dipatuhi,” katanya.

Beliau menegaskan pemeriksaan susulan akan diteruskan bagi memastikan semua arahan dipatuhi dan tiada pemasangan semula papan iklan tanpa kelulusan.

“Johor Bersih memerlukan tindakan kerajaan yang konsisten dan tanggungjawab masyarakat yang berterusan. Keutamaan kita ialah memastikan perniagaan beroperasi secara sah, ruang awam terpelihara dan keselamatan rakyat sentiasa terjamin,” katanya. – UMNO Online