#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Kejayaan Kerjasama BN–PN Cetus Inspirasi Kepada UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 15 Nov – Kejayaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri di Semenanjung membuktikan bahawa kesepakatan politik serta penyatuan kekuatan mampu memberikan impak positif terhadap pencapaian dalam pilihan raya.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, kejayaan tersebut menunjukkan bahawa kesepaduan jentera, kekuatan organisasi dan sokongan akar umbi merupakan antara faktor penting dalam membentuk momentum kemenangan.

Menurutnya, pendekatan kerjasama strategik itu juga berpotensi diterjemahkan dalam konteks politik Sabah menerusi gabungan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, penyatuan kekuatan kedua-dua gabungan berkenaan mampu membuka ruang kepada kejayaan lebih besar, khususnya dalam usaha merampas kembali kerusi yang sebelum ini terlepas.

“Apa yang dibuktikan menerusi kerjasama BN dan PN di tiga negeri di Semenanjung jelas menunjukkan bahawa kesepakatan politik mampu membawa keputusan positif dan cemerlang. Apabila kekuatan digabungkan, jentera diselaraskan dan sokongan akar umbi diperkukuh, potensi untuk mencapai kemenangan lebih besar pastinya terbuka luas,” katanya.

Nik Mohd Nadzri berkata, BN dan GRS masing-masing mempunyai kelebihan dari segi pengalaman kepimpinan, pengaruh akar umbi serta jaringan organisasi yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh kedudukan politik kedua-dua pihak di Sabah.

Katanya, persefahaman politik yang kukuh, pembahagian kerusi secara strategik dan penyelarasan jentera pilihan raya perlu diberikan perhatian bagi memastikan kerjasama itu dapat diterjemahkan kepada kejayaan sebenar.

“Kami yakin kerjasama BN–GRS mempunyai potensi besar untuk mencetuskan gelombang kemenangan di Sabah. Namun, ia perlu disokong dengan perancangan rapi, persefahaman yang jelas serta komitmen semua pihak dalam memastikan setiap kekuatan dapat digembleng secara berkesan,” katanya.

Tambah beliau, kesepakatan BN–GRS bukan hanya berorientasikan usaha memperluas penguasaan kerusi, malah berpotensi menjadi asas kepada pembentukan kerajaan yang stabil dan berupaya membawa pembangunan berterusan.

Jelasnya, kestabilan politik amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya penduduk di Sabah. – UMNO Online