KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kejayaan Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan bahawa kesepaduan jentera, disiplin organisasi dan komitmen seluruh kepimpinan menjadi faktor penting dalam memastikan parti terus mendapat kepercayaan rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pengalaman sepanjang menyelaras jentera BN Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota bukan sahaja memperlihatkan kekuatan semangat perjuangan ahli, malah menjadi pengajaran berharga dalam memperkukuhkan gerak kerja BN Sabah bagi menghadapi PRU16 yang semakin menghampiri.

“PRN Negeri Sembilan memberi banyak pengajaran kepada kita. Untuk memastikan BN terus bergerak ke hadapan, setiap pemimpin dan jentera perlu memikul tanggungjawab dengan penuh komitmen serta bersedia menghadapi apa jua cabaran demi perjuangan parti dan rakyat.”
Beliau berkata, segala pengalaman serta resolusi hasil perbincangan sepanjang tugasan di Negeri Sembilan sewajarnya diperhalusi sebagai panduan dalam menentukan hala tuju BN di Sabah sebelum dikemukakan kepada kepimpinan BN Pusat sebagai persediaan menghadapi cabaran politik akan datang.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hasnol Ayub; Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah, Samasudin Yusuf; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta seluruh Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang berkampung di Kota, Rembau bagi memastikan gerak kerja dan kebajikan jentera BN Sabah sepanjang kempen berada pada tahap terbaik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN Sabah atas pengorbanan, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang membantu kempen PRN Negeri Sembilan.

“Saya juga memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang menyelaras jentera kita. Terima kasih atas setiap pengorbanan yang dicurahkan. Semoga segala khidmat bakti ini diterima sebagai amal kebajikan dan menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh BN Sabah menjelang PRU16,” katanya lagi.
Pada Sabtu, BN memperoleh 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Seramai 646,084 pengundi atau 72.64 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN Negeri Sembilan kali ini merangkumi pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa. – UMNO Online