KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Pertahanan tidak pernah mengambil ringan kelewatan Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan telah mengeluarkan notis makluman Liquidated Ascertained Damages (LAD) kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian mengambil serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan kelewatan yang dilakukan oleh LUNAS.
“Di pihak Kementerian Pertahanan, kita tidak pernah mengambil ringan perkara ini dan satu perkara Yang Berhormat Tanah Merah ada sebut pasal LAD, memang kita telah pun mengeluarkan notis makluman LAD kepada LUNAS untuk kita tunjukkan keseriusan kita dan kita tak kompromi apa yang dilakukan oleh kelewatan yang dilakukan oleh LUNAS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Mohamed Khaled, LKAN setakat 25 Jun 2026 menemukan kadar kelewatan fizikal LCS 1 sebanyak 13.88 peratus, iaitu 85.47 peratus daripada tahap kemajuan yang sepatutnya.
Katanya, setakat Ogos, tahap kemajuan telah meningkat kepada 86.39 peratus, iaitu 13.61 peratus kurang daripada yang disasarkan dan peratusan tahap kelewatan telah dikecilkan sebanyak 0.27 peratus.
Bagi keseluruhan projek pula, kemajuan berada pada 80.13 peratus berbanding 78.99 peratus semasa LKAN dilakukan dan menunjukkan kelewatan sebanyak 9.14 peratus.
Beliau berkata Laporan Ketua Audit Negara turut menyatakan projek itu dijangka mengalami kelewatan menyiapkan beberapa komponen bagi LCS 1 dan 2 khususnya cabling atau pemasangan kabel, pemasangan dan pemeriksaan peralatan serta kerja berkaitan ruang penginapan, panel dan kemudahan catering kapal.
“Kelewatan juga melibatkan kerja-kerja piping dan cabling. Kelewatan kerja-kerja ini memberi kesan berantai kepada aktiviti seterusnya, termasuk setting to work, iaitu proses menghidupkan, menguji dan memastikan sistem kapal boleh berfungsi, serta trial and commissioning atau ujian dan pentauliahan kapal termasuk Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Test,” katanya.
Mengulas tarikh penyerahan LCS 1, Mohamed Khaled berkata LUNAS tidak dapat melunaskan komitmen dan jaminan asal bahawa LCS 1 boleh diserahkan pada Disember 2026 sebaliknya, LUNAS telah memberi tarikh baharu bahawa LCS 1 dijangka dapat diserahkan pada April 2027.
“Di pihak Kementerian Pertahanan, mewakili Angkatan Tentera Malaysia dan juga TLDM khususnya dan sudah pastilah semua Ahli Yang Berhormat yang ada di sini, kita sangat berasa dukacita, kecewa dan tidak selesa dengan kelewatan dan prestasi pembinaan LCS yang dipertanggungjawabkan kepada LUNAS,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pertahanan adalah klien dan pelanggan, bukannya kontraktor yang membina kapal berkenaan.
“Perubahan tarikh penyiapan dan kelewatan ini adalah sesuatu yang sememangnya memberi kesan kepada kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia dan juga pertahanan negara,” katanya.
Mohamed Khaled berkata kementerian berharap LUNAS tidak mempunyai apa-apa lagi alasan dan kelewatan sekiranya tarikh baharu penyerahan adalah pada April 2027.
“Kita harap LUNAS tidak ada apa-apa lagi alasan dan kelewatan,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan mengambil segala langkah dan mekanisme memantau pelaksanaan Projek LCS.
Katanya, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan tidak mahu sebarang kelewatan yang berterusan dalam projek berkenaan.
“Saya percaya dengan kerjasama dan komitmen Kementerian Kewangan, kali ini LUNAS tidak akan ubah lagi tarikh penghantaran dan akhirnya serahan kapal kepada Kementerian Pertahanan dan ia tetap akan dibuat dalam bulan April 2027,” katanya.- UMNO Online