#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Kerajaan Negeri Terus Santuni Mualaf, Masyarakat Orang Asli Menerusi Inisiatif Makmur Pahang

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk memperkasa kebajikan masyarakat Orang Asli dan saudara baharu terus dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk penyaluran bantuan di bawah Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah berkesempatan untuk bertemu dan menyantuni masyarakat Orang Asli serta saudara-saudara baharu pada Selasa.

“Alhamdulillah, pagi ini saya berpeluang bertemu dan menyantuni masyarakat Orang Asli serta saudara-saudara baharu dalam Majlis Santuni Saudaraku sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H di Perkampungan Orang Asli Hulu Pareh, Bentong.

“Pada majlis ini, saya turut melancarkan dan menyampaikan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf kepada 300 orang mualaf dengan setiap seorang menerima RM200 serta sumbangan kepada 60 orang Penggerak Masyarakat Orang Asli Negeri Pahang.

“Bantuan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi tanda bahawa kerajaan negeri sentiasa bersama saudara-saudara baharu dalam perjalanan mereka mendalami Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pelbagai usaha akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

“Dalam pada itu, saya juga menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli sentiasa dekat di hati kerajaan negeri. Pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup, pendidikan dan kesejahteraan mereka agar tiada siapa yang tercicir daripada arus pembangunan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), seluruh jabatan dan agensi yang terlibat serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk memastikan kemajuan yang dinikmati di Pahang dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya menerusi Inisiatif Makmur Pahang,” katanya lagi. – UMNO Online