KUALA LUMPUR, 7 Julai – Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah memaklumkan kerajaan mengambil perhatian serius terhadap perubahan struktur demografi negara yang menunjukkan peningkatan ketara bilangan penduduk berusia.
Beliau berkata ini kerana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia telah mencapai status negara menua pada tahun 2021 apabila penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk.
“Trend ini dijangka terus meningkat dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), sekali gus memerlukan persediaan yang menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan warga emas terus terpelihara tanpa menjejaskan kemampanan ekonomi dan fiskal negara.
“Sehubungan itu, RMK13 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi fenomena penuaan penduduk melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat yang merangkumi aspek kesihatan, penjagaan warga emas, pembangunan tenaga kerja serta perlindungan sosial,” katanya.
Mohd Shahar berkata demikian ketika menjawab Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) berkenaan kesiapsiagaan Kerajaan menghadapi Malaysia negara menua 2030 dari segi fasiliti kesihatan, penjagaan warga emas, tenaga kerja mahir dan perlindungan sosial menurut DOSM.
Mengulas lanjut berkenaan persoalan tersebut Ahli Parlimen Paya Besar itu berkata dari segi fasiliti dan perkhidmatan kesihatan, Kerajaan sedang melaksanakan reformasi sistem kesihatan berasaskan Kertas Putih Kesihatan yang menumpukan kepada pengukuhan penjagaan kesihatan primer, pencegahan penyakit, pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan peningkatan akses perkhidmatan di peringkat komuniti.
Seterusnya katanya, dalam menghadapi peningkatan bilangan warga emas, perkhidmatan geriatrik, rehabilitasi, penjagaan paliatif dan penjagaan jangka panjang turut akan diperluas, termasuk melalui pemanfaatan teknologi digital kesihatan.
“Bagi penjagaan warga emas, Kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang menekankan penuaan aktif, sihat dan bermaruah. Tumpuan diberikan kepada model penjagaan berasaskan komuniti dan keluarga, pengukuhan perkhidmatan sokongan sosial, peluasan program PAWE serta pembangunan ekosistem penjagaan jangka panjang yang mampan dengan penglibatan sektor swasta dan masyarakat sivil.
“Kerajaan menyedari bahawa peningkatan populasi warga emas akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja dalam sektor kesihatan dan penjagaan. Sehubungan itu, RMK13 memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti profesional kesihatan, penjaga profesional, pekerja sosial, pakar geriatrik dan tenaga kerja berkaitan melalui program latihan, pensijilan dan peningkatan kemahiran. Penggunaan teknologi dan automasi turut diperkasa bagi meningkatkan produktiviti sektor penjagaan.
“Bagi perlindungan sosial, Kerajaan akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan mampan melalui peningkatan kecukupan pendapatan persaraan, peluasan perlindungan sosial serta bantuan yang lebih bersasar,” ujar beliau. – UMNO Online