#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Kerajaan Peruntuk RM200 Juta, Perkasa Para Huffaz

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk memperkasa para huffaz.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, peruntukan tersebut turut merangkumi bantuan operasi bagi menyokong kelangsungan institusi tersebut.

“Hafazan 30 juzuk al-Quran bukanlah pengakhiran perjalanan, tetapi permulaan kepada amanah yang lebih besar. Para huffaz perlu diberi ruang untuk menguasai ilmu, kemahiran dan bidang profesional dengan al-Quran sebagai pedoman.

“Ketika berucap di dalam Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara PERMATA Al-Quran Kali Ke-10, saya menekankan kepentingan memperluas laluan pendidikan dan kerjaya huffaz melalui TVET, universiti serta pelbagai bidang profesional.

“Seiring usaha ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 telah memperuntukkan RM200 juta kepada sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah JAKIM, termasuk bantuan operasi bagi menyokong kelangsungan institusi ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut menzahirkan keyakinan terhadap pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara 2.0.

“Selain ini, saya juga menyatakan keyakinan terhadap pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara 2.0 yang turut mensasarkan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050.

“Semoga para graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara PERMATA Al-Quran Kali Ke-10 ini akan terus menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam setiap langkah, mengembangkan kepakaran dan membawa manfaat kepada masyarakat di mana sahaja mereka berada,” katanya lagi. – UMNO Online