KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kerajaan mengambil pendekatan menguruskan risiko kebergantungan sektor elektrikal dan elektronik (E&E) melalui tiga strategi utama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ujarnya, kedudukan E&E yang besar dalam struktur dan eksport negara juga perlu dilihat sebagai cerminan kekuatan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) merupakan antara tunjang utama perdagangan dan eksport negara. Namun begitu, kedudukan E&E yang besar dalam struktur eksport negara perlu dilihat bukan semata-mata sebagai kebergantungan, tetapi juga sebagai cerminan kekuatan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, khususnya dalam industri semikonduktor.
“Sebagai contoh, pada tahun 2025, daripada nilai eksport RM1.6 trilion, RM712 bilion adalah daripada sektor E&E. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 pula, eksport barangan E&E menyumbang sebanyak 48.4 peratus atau RM656.14 bilion kepada jumlah eksport negara.
“Daripada jumlah tersebut, produk semikonduktor yang merupakan komponen utama eksport E&E menyumbang hampir RM483.6 bilion atau 68.3 peratus. Angka ini mencerminkan kedudukan ekosistem perindustrian dan daya tahan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Soal Jawab Menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kemerosotan ketara dalam kitaran semikonduktor global boleh menyebabkan pelarasan inventori dan pengurangan pengeluaran.
“Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari risiko yang timbul daripada kebergantungan yang tinggi terhadap sektor ini. Industri semikonduktor bersifat kitaran, manakala permintaan global turut dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi, perubahan teknologi, gangguan rantaian bekalan serta perkembangan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan, teknologi dan ekonomi oleh negara-negara utama.
“Sekiranya berlaku kemerosotan ketara dalam kitaran semikonduktor global, keadaan ini berpotensi menyebabkan pelarasan inventori dan pengurangan pengeluaran, sekali gus memberi tekanan kepada eksport E&E dan prestasi eksport negara secara keseluruhan.
“Risiko ini lebih ketara sekiranya pertumbuhan sektor eksport lain tidak mencukupi untuk mengimbangi kejatuhan ini,” katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan mengambil pendekatan menguruskan risiko kebergantungan tersebut melalui tiga strategi utama antaranya memperkukuh dan mempelbagaikan rantaian nilai E&E melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
“Bagi menangani risiko tersebut, pendekatan kerajaan bukanlah untuk mengurangkan peranan E&E dan semikonduktor yang merupakan antara kekuatan daya saing ekonomi Malaysia. Sebaliknya, kerajaan mengambil pendekatan menguruskan risiko kebergantungan ini melalui tiga strategi utama.
“Pertama, memperkukuh dan mempelbagaikan rantaian nilai E&E melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Dalam Strategi Semikonduktor Nasional, kerajaan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi dan berintensifkan teknologi seperti reka bentuk litar bersepadu atau IC design dan pembungkusan termaju (advanced packaging).
“Kedua, mempelbagaikan sumber pertumbuhan di luar sektor E&E dan memperkukuh rantaian bekalan domestik. Sebagai contoh, kerajaan turut memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi lain seperti farmaseutikal, automotif, aeroangkasa, peranti perubatan, industri halal, kimia dan petrokimia.
“Secara keseluruhannya, NIMP 2030 merangkumi 21 sektor dengan matlamat meningkatkan kerumitan ekonomi industri-industri ini, nilai tambah yang tinggi serta peluang pekerjaan berkemahiran, termasuk sebahagian daripada sektor perkhidmatan. Sektor ini telah menyumbang RM857 bilion pada tahun 2025,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan penekanan kepada pasaran eksport untuk menyelesaikan permasalah tersebut.
“Ketiga, kita akan memberikan penekanan kepada pasaran eksport. Melalui MATRADE, kita mengembangkan pasaran ke kawasan atau destinasi serantau seperti Asia Tengah, Afrika, Amerika Latin dan sebagainya, yang sebelum ini kurang kita tumpukan,” katanya lagi. – UMNO Online