#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

Kesejahteraan Warga ATM Turut Rangkumi Pendidikan Anak-Anak

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut merangkumi pendidikan dan masa depan anak-anak mereka, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah ke Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kem Terendak ketika lawatan kerja ke Melaka pada Khamis.

“Dalam lawatan kerja ke Melaka hari ini, saya singgah di SRA JAIM Kem Terendak. Seronok melihat keceriaan di wajah anak-anak kita. Kita mahu mereka terus gembira ke sekolah, dengan suasana yang lebih selesa untuk belajar dan menimba ilmu.

“Sekolah ini merupakan antara 42 buah sekolah agama dan KAFA dalam kem ATM yang menerima manfaat Program Sekolah Angkat Madani 2026 oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Kumpulannya,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa sebanyak RM1.05 juta telah diperuntukkan yang memberi manfaat kepada lebih 10,300 pelajar dan guru melalui program tersebut.

“Sebanyak RM1.05 juta diperuntukkan melalui program ini, memberi manfaat kepada lebih 10,300 pelajar dan guru. Khusus bagi SRA JAIM Kem Terendak, RM35,000 diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan surau.

”Usaha meningkatkan kesejahteraan warga ATM turut merangkumi pendidikan dan masa depan anak-anak mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut meneruskan lawatan kerja ke Kem Sungai Udang, Melaka yang menempatkan pasukan elit Grup Gerak Khas (GGK) Tentera Darat Malaysia.

“Saya menerima taklimat mengenai kesiagaan pasukan dan kesejahteraan anggota, termasuk keperluan perumahan seperti Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan blok penginapan.

“Peruntukan senggaraan kem ini meningkat daripada RM4.87 juta pada 2025 kepada RM6.38 juta tahun ini, bagi memastikan prasarana dan persekitaran kem kekal selesa dan selamat.

“Saya turut meninjau gimnasium yang menerima sumbangan RM110,000 untuk dinaik taraf melalui Program Kem Santuni Madani oleh LTAT dan Syarikat Kumpulannya. Sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi program ini yang melibatkan enam kem ATM di seluruh negara.

“Kesiagaan pasukan dan kesejahteraan anggota perlu terus diperkukuh seiring demi memastikan tanggungjawab mempertahankan negara dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya lagi. – UMNO Online