#terusberkhidmat, #LpKitaPunya, #TZLPTV

BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT

KPK Jadi Rakan Strategik, Pastikan Industri Getah Berdaya Saing

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus menjadi rakan strategik dalam memastikan industri getah Malaysia kekal berdaya saing, kata menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah berkesempatan merasmikan Malaysian Rubber Council (MRC) Industry Leadership and Networking Dinner anjuran MRC.

“Malam tadi saya berkesempatan merasmikan MRC Industry Leadership and Networking Dinner anjuran MRC, sebuah platform yang menghimpunkan kepimpinan dan pemain utama industri getah negara.

“Saya turut menyaksikan pertukaran lima Memorandum Persefahaman (MoU) strategik yang mencerminkan kesungguhan industri untuk terus meneroka peluang baharu dan memperluas pasaran produk getah Malaysia di peringkat global.

“Lebih menggembirakan, aspek kebajikan dan pembangunan insan turut diberi perhatian melalui komitmen terhadap amalan buruh yang beretika serta penyampaian Anugerah Biasiswa MRC bagi menyokong pembangunan bakat pelapis industri getah negara,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menegaskan bahawa kekuatan industri terletak kepada keupayaan melahirkan generasi baharu yang berilmu dan berkemahiran.

“Saya percaya, kekuatan sesebuah industri bukan hanya terletak pada teknologi dan nilai eksportnya, tetapi juga pada keupayaan kita melahirkan generasi baharu yang berilmu, berkemahiran dan bersedia membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Terima kasih kepada MRC dan seluruh pemain industri atas komitmen serta kerjasama yang berterusan.

“KPK akan terus menjadi rakan strategik industri dalam memastikan industri getah Malaysia kekal berdaya saing, mampan dan terus mempunyai tempat yang kukuh dalam rantaian nilai global,” katanya lagi. – UMNO Online