TIANJIN (China), 16 Okt – Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia, dengan China bertindak sebagai tuan rumah tetap.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis berkenaan bertujuan menyediakan platform global yang berkekalan untuk memupuk kerjasama dalam pembangunan kemahiran, kemajuan teknologi dan tenaga kerja.
“Majlis ini akan bersidang setiap tahun untuk menghimpunkan negara, industri dan institusi bersama-sama dalam membentuk agendo global untuk masa depan kemahiran, teknologi dan pembangunan tenaga kerja,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengemukakan cadangan itu ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC 2026) di Tianjin Meijang Convention and Exhibition Centre, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata inisiatif itu juga akan melengkapi usaha untuk memperkukuh piawaian latihan dan kerjasama pada peringkat antarabangsa, di samping memastikan keutamaan negara kekal dihormati.
“Malaysia turut mengalu-alukan Kerangka Standard Pendidikan Teknikal dan Vokasional Dunia yang dicadangkan, yang dikenali sebagai Perjanjian Beijing, bertujuan memperkukuh kualiti latihan dan kerjasama antarabangsa, sambil menghormati keutamaan setiap negara.
“Kerjasama Malaysia-China dalam TVET menunjukkan betapa hubungan diplomatik dapat diterjemahkan kepada peluang nyata untuk rakyat, terutamanya golongan muda Malaysia yang mencari kemahiran dan prospek kerjaya lebih baik,” katanya.
Selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid berkata beliau mengetuai agenda TVET negara melibatkan 12 kementerian dan 1,398 institusi di seluruh Malaysia.
Beliau berkata Malaysia juga sedang memacu pendidikan teknikal ke arah bidang teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan semikonduktor menerusi inisiatif
“Hi-TVET bagi melengkapkan tenaga kerja domestik untuk pekerjaan yang lebih bernilai tinggi.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata perkongsian antarabangsa yang lebih kukuh, penyertaan industri yang lebih erat dan penyelarasan yang dipertingkatkan terus penting untuk memastikan generasi seterusnya memenuhi tuntutan ekonomi global yang sentiasa berubah. – BERNAMA